Monday, 7 July 2014

CADANGAN TENGKU ADNAN DIPROTES KERANA TIDAK MASUK AKAL


By admin
Tengku Adnan seharusnya mengkaji tentang kumpulan bawahan masyarakat ini yang tersisih dan dipinggirkan dalam sistem yang semakin tidak adil
PETALING JAYA: Aktivis Dapur Jalanan Pulau Pinang dan Dapur Komuniti Serdang, Ong Jing Cheng memandang arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebagai tidak masuk akal dan tidak berperikemanusiaan.
Ong juga mengecam kenyataan Tengku Adnan yang cuba melarang badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi makanan kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur kerana gagal melihat masalah kemiskinan dari akar umbinya.
“Kemunculan isu kemiskinan ini sepatutnya tidak dilihat sebagai satu kesalahan dan masalah kepada Tengku Adnan.
“Tengku Adnan seharusnya mengkaji tentang kumpulan bawahan masyarakat ini yang tersisih dan dipinggirkan dalam sistem yang semakin tidak adil,” katanya.
Menurut Ong, ini termasuk kekurangan peluang pekerjaan, gaji yang rendah dan kos kehidupan yang semakin meningkat yang telah melebarkan jurang perbezaan di antara golongan kaya dan miskin.
“Kerajaan harus bertanggungjawab untuk membasmi kadar kemiskinan di negara kita dan bukannya mengusir golongan miskin yang sudah lama tertekan.
“Sekiranya kerajaan mahupun menteri yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini gagal untuk menerima hakikat ini secara jujur, maka isu kemiskinan hanya akan berterusan tanpa jalan penyelesaian,” jelasnya.
Tambahnya lagi, apabila pihak berkuasa merasakan mereka mampu menyelesaikan masalah ini, maka kumpulan seperti “Soup kitchen” akan menjadi tidak relevan untuk terus wujud bagi membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur.
“Kami meminta supaya Tengku Adnan menarik balik arahan yang dikeluarkan dan berharap mereka lebih menumpukan masanya untuk menangani isu yang lebih penting,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment