Thursday, 10 July 2014

SUHAKAM DAKWA PUTRAJAYA GAGAL MENJALANKAN TANGGUNGJAWABNYA SEBAGAI AHLI PBB


Written by Admin

OLEH: WAN SALMAH WAN DZULKILIE

KUALA LUMPUR: Ekoran Putrajaya gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) apabila tidak melayan surat Pelapor Khas badan dunia itu yang melahirkan rasa bimbang tentang kebebasan beragama melalui pengharaman penggunaan kalimah Allah, kata badan hak asasi manusia hari ini.

Suhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, sebagai negara anggota PBB, adalah penting bagi Malaysia memberikan maklum balas terhadap apa yang dibangkitkan oleh Pelapor Khas Heiner Bielefeldt itu.

"Sebagaimana kami faham tentang sensitiviti isu ini, kami juga bimbang isu penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam menyebabkan kritikan yang teruk komuniti antarabangsa yang mungkin akan menyebabkan pandangan negatif terhadap rekod hak asasi manusia Malaysia," kata Suhakam dalam satu kenyataannya kepada Free Sandakan Today.Net

Suhakam juga berkata, kerajaan amat perlu menganjurkan dialog antara agama di kalangan mereka yang berkepentingan dalam isu ini, terutamanya di kalangan pemimpin masyarakat, ulama, pihak berkuasa negeri dan persekutuan yang berkaitan serta orang awam tentang penggunaan nama itu.

Reaksi Suhakam itu ekoran permintaan Bielefeldt agar badan hak asasi manusia itu mengambil sikap prihatin ekoran sekatan itu, jika tidak, ia akan bermasalah dengan institusi hak asasi manusia antarabangsa. 
Bielefeldt juga berkata, surat dihantar kepada Putrajaya November lepas bagi meminta penjelasan tentang sekatan ke atas penggunaan kalimah Allah ekoran keputusan Mahkamah Rayuan menentang penggunaannya oleh majalah mingguan Katolik, Herald.

"Saya masih menunggu jawapan dan berharap ini bukan keputusan akhir Putrajaya," kata Bielefeldt kepada  Portal Online Free Sandakan Today.Net minggu lalu.
Sementara itu, kumpulan masyarakat sivil Suaram berkata, kerajaan persekutuan tidak menghormati PBB apabila gagal menjawab surat Bielefeldt yang dihantar November tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng berkata, mereka terkejut dengan Putrajaya apabila gagal menjawab surat itu kerana Putrajaya perlu bekerjasama dengan Pelapor Khas itu, kerana Putrajaya berjanji berbuat demikian ketika menyertai pemilihan untuk menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) itu. (Malaysia menduduki kerusi Majlis HRC selama tiga tahun dari 2011 hingga 2013)

Katanya, dengan tidak menjawab surat itu, Putrajaya gagal memenuhi tugas asas sebagai negara ahli kepada HRC.
"Kerajaan perlu melaksanakan janjinya dan menunjukkan kepada PBB mereka serius dengan janji mereka sendiri, jika tidak ia akan mencemarkan imej negara, khasnya apabila Malaysia kini sedang menyasarkan untuk menduduki kerusi Majlis Keselamatan PBB pula," kata Yap.
  
Jurucakap Comango Honey Tan juga berkata, dia tidak terkejut dengan kegagalan Putrajaya menjawab surat Pelapor Khas PBB itu.
"Mereka juga tidak menjawab surat Comango yang memohon mengadakan pertemuan.

"Ia menunjukkan pihak yang menghantar surat tidak penting dan isu yang dibangkitkan juga tidak penting," tambah Tan.


Yap berkata, walaupun kerajaan memberikan penjelasan kepada cadangan lain yang mereka kemukakan, kerajaan tidak berbuat demikian untuk dua cadangan tentang kebebasan beragama.
Katanya, ia menunjukkan kerajaan tidak komited untuk menggalak dan menjaga kebebasan beragama di negara ini.
"Ia hanya mengesahkan bahawa bagi kerajaan Malaysia, politik lebih penting daripada memenuhi tuntutan hak asasi manusia," katanya.

Sementara itu, Suhakam memberikan ingatan kepada kerajaan komitmennya yang dibuat semasa proses UPR sebelum ini, khasnya untuk menggalakkan dialog antara agama dan menyelaraskan perbezaan dalam pemikiran Islam dan agama lain; dan terus memerangi segala bentuk diskriminasi agama dan memelihara agama kaum minoriti di negara ini.

"Lebih penting lagi, kerajaan menerima pada dasarnya untuk melaksanakan komitmen untuk menggalak dan memelihara hak untuk rakyat menunaikan amalan agama secara aman dan selamat tanpa diskriminasi dan sekatan," kata Suhakam. – 10 Julai, 2014.


No comments:

Post a Comment