Thursday, 10 July 2014

APS MINTA DEDAHKAN IDENTITI POLIS YANG DITAHAN TERLIBAT KEGIATAN MILITAN....BUMBURING...

 Written by Admin

OLEH: CHARLES P ANDIANG

KOTA KINABALU: Berhubung dengan penahanan anggota polis yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan  di Lahad Datu baru-baru ini Sabah Reform Movement (APS) menuntut pihak polis agar mendedahkan latar belakang anggota polis yang terbabit
Presidennya, Wilfred Bumburing berkata ini adalah penting kerana perkara itu melibatkan kepentingan awam serta berkait rapat dengan hal keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata penangkapan anggota polis berpangkat koperal itu membuktikan adalah wajar wujudnya kebimbangan tentang kenyataan bahawa pendatang tanpa izin telah berjaya meresap ke dalam pasukan keselamatan Malaysia.
“Oleh itu, pihak polis mesti mendedahkan latar belakang koperal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengimbas kembali pencerobohan Kampung Tanduo oleh militan Sulu, di mana terdapat anggota polis yang ditangkap dan dikaitkan dengan insiden tersebut.

PATI di Sabah adalah seperti bom jangka
Bumburing percaya, rakyat Malaysia tulen dalam pasukan polis dan angkatan tentera tidak akan berkompromi terhadap kedaulatan negara mereka atau bekerjasama dengan musuh negara untuk menyerang Malaysia. Kes anggota polis yang ditangkap hanya serpihan kecil daripada bilangan sebenar, katanya.
“Kehadiran beratus  ribu pendatang haram di Sabah menimbulkan bahaya besar kepada negeri ini.”
Bagaimanapun, beliau berkata gesaan oleh rakyat Sabah untuk menangani masalah pendatang asing tanpa izin seolah-olah tidak didengar oleh kerajaan.

“Saya mengulangi amaran saya kepada kerajaan bahawa akan tiba masa apabila pendatang asing tanpa izin ini akan meletup seperti bom jangka dan kerajaan tidak akan berdaya untuk membendung masalah itu lagi,” katanya.


Katanya rakyat Malaysia tulen dalam pasukan polis dan angkatan tentera tidak akan berkompromi dengan kedaulatan negara atau bekerjasama dengan musuh untuk serangan terhadap Malaysia

No comments:

Post a Comment