Tuesday, 19 November 2013

SESI SOAL JAWAB MP SANDAKAN WONG MENGENAI ESSCOM


Ruj Kami: MPSDK/50/2013
Ruj Tuan:
Tarikh: 19 November 201
Y. B. Tan Sri Datuk Seri Panglima
Hj Pandikar Amin bin Hj Mulia
Yang di-Pertua Dewan Rakyat                             Emel:  alizulfakarz@yahoo.com
Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen                  T el:      03-2079-7100
50680 Kuala Lumpur                                              Faks:  03-2070-8654

Tan Sri Yang di-Pertua,

Per:    Usul Menangguhkan Mesyuarat dan Penjelasan Bertulis, di bawah Peraturan Mesyuarat 18

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan 18(1) dan (2).

2.         Saya mengusulkan supaya ditangguhkan mesyuarat ini untuk merundingkan perkara yang tertentu di bawah, yang berkehendak disegerakan dan berkenaan dengan kepentingan orang ramai.

Usul yang Dicadangkan

3.         Saya, Stephen Wong Tien Fatt (Sandakan), di sini mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini merundingkan kegagalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mempertahankan keselamatan Pantai Timur, negeri Sabah, memandangkan beberapa peristiwa yang teruk yang melibatkan penceroboh-penceroboh asing yang bersenjata telah berlaku di perairan Pantai Timur, negeri Sabah, sejak penubuhannya, iaitu (a) penahanan dan perampasan kapal nelayan di perairan Semporna pada 27 Ogos 2013, (b) penahanan dan perampasan kapal nelayan di perairan Kudat pada 4 November 2013, dan (c) penculikan dan pembunuhan pelancong-pelancong asing di Pulau Pom-Pom yang berdekatan dengan Semporna pada 15 November 2013; dan seterusnya merundingkan langkah-langkah segera yang harus diambil oleh Kerajaan demi menjamin keselamatan rakyat di Pantai Timur, negeri Sabah.”

Penjelasan

Tuan Yang di-Pertua,

4.         Saya membentangkan usul ini bagi suatu perkara yang tertentu, iaitu kegagalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), yang telah didedahkan dan dibuktikan oleh beberapa peristiwa yang melibatkan penceroboh-penceroboh asing yang bersenjata, termasuk penahanan nelayan, perampasan harta, pembunuhan dan penculikkan.

5.         Usul ini harus disegerakan kerana peristiwa-peristiwa seperti itu masih dan kerap berlaku walaupun selepas ESSCOM ditubuhkan dan walaupun Kerajaan telah banyak berjanji kepada rakyat Sabah untuk mengambil tindakan untuk mempertahankan sempadan perairan Sabah. Sekurang-kurangnya dua peristiwa telah berlaku pada bulan November ini, dan mereka jelas membuktikan bahawa keberkesanan dan efisiensi ESSCOM, dan segala penjelasan selama ini yang telah diberi oleh Kerajaan berkaitan dengan ESSCOM, harus dipersoalkan oleh Dewan yang Mulia ini.

6.         Mengikut laporan Bernama, Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek, menyifatkan peristiwa di Pulau Pom-Pom ini sebagai satu “kes terpencil membabitkan penjenayah” yang harus disiasat oleh pihak Polis, dan dan bukan seperti “pencerobohan dahulu” oleh ahli-ahli bersenjata Sulu. Walaupun pengganas-pengganas ini berasal dari negara jiran, telah mencerobohkan sempadan air Sabah, dan berbuat demikian dengan membawa senjata api, tetapi nampaknya, kes ini masih dianggap sebagai tanggungjawab pihak Polis, dan bukan pihak ESSCOM. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan harus memberi penjelasan tentang mandate ESSCOM yang sebenarnya, dan bilakah satu peristiwa dianggap sebagai “jenayah” dan bilakah ia menjadi “pencerobohan”. Rakyat Sabah amat keliru terhadap definasi-definasi yang bukan-bukan ini.

7.         Walaubagaimanapun, sama ada “jenayah” ataupun “pencerobohan”, kalaulah ia bukan kegagalan pihak ESSCOM, maka ia tentulah kegagalan Polis. Alasan yang selalu diberi oleh pihak berkenaan adalah, bahawa “keadaan kawasan pesisir pantai yang panjang dan luas” di Sabah “menyukarkan pasukan keselamatan untuk mengawal setiap inci sempadan laut negara.” Jika Kerajaan tidak mampu untuk menyelesaikan isu keselamatan ini yang boleh mengancam kedaulatan negara, maka sudah tiba masanya Ahli-Ahli Dewan yang Mulia ini diberi peluang untuk menyumbangkan “idea” dan cadangan mereka.

8.         Keberkesanan dan efisiensi ESSCOM adalah berlainan dengan peruntukkan untuk perbelanjaannya, yang mungkin dibahas semasa persidangan Bajet ini, kerana cara-cara yang lain (selain daripada model ESSCOM) untuk menyelesaikan isu-isu keselamatan Pantai Timur Sabah boleh dicadangkan apabila membahas usul yang dicadangkan ini.  

9.         Usul ini amatlah berkenaan dengan kepentingan orang ramai kerana kegagalan Kerajaan untuk mempertahankan sempadan air dan Pantai Timur Sabah, sebelum dan selepas penubuhan ESSCOM, telah mengancam keselamatan nyawa, harta dan rezeki penduduk-penduduk di Pantai Timur Sabah.

10.       Atas sebab-sebab di atas, saya memohon agar usul ini dibincangkan dengan segera. Sekian, terima kasih.

Yang benar,

  
________________________
Stephen Wong Tien Fatt
Ahli Parlimen P186 Sandakan


No comments:

Post a Comment