Tuesday 19 November 2013

RM269.5 juta laksana manifesto Selangor

Tuesday  November 19, 2013   By Admin
Kerajaan akan memberi wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama dan memberi wang hadiah harijadi bernilai RM100 pada hari lahir yang ke-60.
 












SHAH ALAM: Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat akhirnya menunaikan janji dengan memperuntukkan sejumlah RM269.5 juta dalam Belanjawan 2014 untuk mula melaksanakan pelbagai tawaran yang diumumkan dalam Manifesto ‘Meneruskan Kecemerlangan’ semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan, teras ‘Ekonomi Rakyat’ merupakan jumlah terbesar diperuntukkan iaitu sebanyak RM154.47 juta, meliputi pemilikan saham air Selangor, perumahan, keusahawanan dan inovasi, pengangkutan awam, pemilikan tanah, pembangunan pertanian, hab halal, dan perlindungan alam sekitar.
Bagi teras ‘Kesejahteraan Rakyat’ pula, sejumlah RM45.5 juta diperuntukkan kepada dasar mensejahterakan rakyat, iaitu pemberdayaan wanita, keselamatan, penjagaan kesihatan iaitu pemeriksaan kanser prostat percuma, Orang Kelainan Upaya (OKU), dan bantuan pendidikan RM1,000 seorang sebagai Hadiah Masuk Universiti.
Manakala bagi teras ‘Persaudaraan Rakyat’, RM69.5 juta akan dibelanjakan menerusi aktiviti keagamaan dan kebudayaan termasuk menyediakan kawasan tanah bagi semua rumah ibadat (masjid, kuil, tokong, gereja), memberi wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama, memberi wang hadiah harijadi bernilai RM100 pada hari lahir yang ke-60, dan membina  tiga Pusat Kebudayaan di tebing Sungai Klang bagi komuniti Melayu, India dan Cina di Klang.
Selaras dengan manifesto juga, Belanjawan 2014 memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan dasar Perumahan Mampu Milik Berkualiti disamping RM2 juta lagi untuk projek Perumahan Rakyat dan RM2.4 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih rumah awam kos rendah.
“Ini tidak termasuk peruntukan khas RM100 juta untuk pembinaan rumah mampu milik yang menggunakan dana rizab negeri,” katanya.
Manakala bagi sektor pendidikan, sejumlah RM26 juta diperuntukkan kepada pembangunan pendidikan; RM16 juta daripadanya sebagai bantuan kepada sekolah agama, Cina dan Tamil.
Lagi RM5 juta lagi diberi untuk program pendidikan secara umum, RM2 juta bagi program pendidikan tinggi, program kemahiran teknikal (RM2 juta) dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang (RM1juta).
Manakala bagi pembangunan modal insan RM7.8 juta diperuntukkan, dan pusat latihan (RM200,010).
“Ini belum diambil kira RM50 juta yang diperuntukkan daripada rizab negeri bagi tahun 2014 untuk membina beberapa buah bangunan sekolah,” katanya.
Sementara itu, penstrukturan air Selangor, salah satu daripada tawaran yang terkandung dalam manifesto juga adalah sangat mustahak bagi membolehkan pemberian subsidi 20 meter padu air percuma selama paling kurang 10 tahun akan datang dan menjamin harga air berpatutan.
Setakat ini, kerajaan negeri kekal dengan tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil alih dan mengurus sepenuhnya kesemua empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), anak syarikat Kumpulan Gamuda Bhd; dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Aisr Selangor Sdn Bhd (Syabas) serta Konsortium Abbas Sdn Bd yang dibuat pada Februari 2013.
“Walaupun rundingan tentang nilai dan kaedah pembayaran dimuktamadkan selewat-lewatnya menjelang 31 Disember 2013, proses pemgambilalihan mungkin memerlukan tiga hingga enam bulan lagi untuk selesai,” katanya. fmt

No comments:

Post a Comment