Friday 22 November 2013

Tubuh jawatankuasa khas kaji tahaluf siyasi Jamilah Kamarudin



 Friday  November 22, 2013.....By Admin

Jawatankuasa itu nanti akan menyemak serta menilai kekuatan, kelemahan, kejayaan, dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi sepanjang PAS berada dalam Pakatan Rakyat sejak tahun 2008.


 SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS menyarankan supaya satu jawatankuasa khas mengkaji tahaluf siyasi antara PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat ditubuhkan.

Wakil Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan Abdul Hadi Abdul Halim mencadangkan, jawatankuasa itu nanti akan menyemak serta menilai kekuatan, kelemahan, kejayaan, dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi sepanjang PAS berada dalam Pakatan Rakyat sejak tahun 2008.

“Penilaian dari sudut kerosakan dan kebaikan dibuat dengan tujuan bagi penambahbaikan dan pengukuhan demi melonjakkan Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang,” katanya dalam sesi perbahasan Muktamar Tahunan ke-52 di sini hari ini.

Katanya, cadangkan itu akan diutarakan kepada Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat untuk diberi perhatian, selepas dibangkitkan dalam Multaqa Ulamak Semalaysia di Kota Sarang Semut, Kedah, pada 14 September lalu.

Usul bersama daripada Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang itu juga diterima dan dipersetujui secara sebulat suara oleh 521 perwakilan daripada 137 kawasan di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, Dewan turut menerima usul tanpa bahas daripada PAS Kawasan Kuala Nerus, Terengganu yang mendesak PAS Pusat memasukkan satu fasal dalam Perlembagaan parti yang memperuntukkan Presiden, Timbalan Pesiden, dan sekurang-kurangnya salah satu Naib Presiden yang dipilih perlu terdiri daripada Ulamak.

Cadangan ini dibangkitkan supaya tidak timbul kecelaruan pemikiran berhubung dengan kepimpinan diperingkat tertinggi.

“Menyedari kepimpinan ulamak menjadi tonggak kepada PAS yang digagaskan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1982, maka menjadi tanggungjawab kepada parti untuk mamastikan survival pemimpin ulamak supaya difahami dan dihayati seluruh ahli PAS,” katanya.


 

No comments:

Post a Comment