Thursday, 21 November 2013

Pemuda Umno Selangor Selar Wee Ka Siong biadap

By Admin  Thursday  November 21, 2013
Pihaknya tidak teragak-agak mendesak supaya gelaran 'Datuk' Ahli Parlimen Ayer Hitam itu ditarik balik sekiranya masih tiada sebarang respon dikemukakan.
 








SHAH ALAM: Pemuda Umno Selangor menggesa Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong menarik balik dan memohon maaf di atas kenyataannya sebelum ini yang mempertikaikan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zainal berkata, kenyataan Wee itu dilihat sebagai biadap dan mengecam tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan titah Sultan.
Zainuri berkata, sebagai seorang Ketua Pemua parti Komponen Barisan Nasional (BN), bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu sepatutnya berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung sensitiviti sesuatu kaum.
“Kami sebulat suara mengutuk perbuatan biadap Wee dan mendesak supaya beliau menarik semula kenyataan itu serta memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor khasnya kepada seluruh rakyat Selangor,” katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang tempoh masa kepada Wee untuk berbuat demikian, tetapi berikrar akan terus mendesak termasuk usaha mengerakkan rangkaian Pemuda Umno seluruh negara menuntut sehingga Wee mengemukakan maaf.
“Sekiranya Wee tidak tahu sensitiviti masyarakat Melayu Islam kami sedia beri kursus percuma supaya beliau memahami isi Rukun Negara,” katanya.
Malah, pihaknya tidak teragak-agak mendesak supaya gelaran ‘Datuk’ Ahli Parlimen Ayer Hitam itu ditarik balik sekiranya masih tiada sebarang respon dikemukakan.
Katanya, Wee sebagai wakil rakyat Johor tidak sepatutnya masuk campur dalam urusan berkaitan agama di Selangor dan menganggap Wee hanya mahu meraih perhatian politik menjelang pemilihan MCA pada Disember depan.
“Kita cabar dia kalau titah sama dikeluarkan oleh Sultan Johor adakah dia berani menidakkan dan memperlekehkan Sultan Johor,” soalnya.
Wee dalam laporan FMT minggu lalu mempersoalkan titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab ‘Bible’ dan juga penerbitan ‘Herald’ versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta.
Merujuk kepada rayuan kes di Mahkamah Rayuan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan penerbitan mingguan Katolik, The Herald pada 14 Oktober lalu, Baginda menggesa semua rakyat di Selangor mematuhi keputusan itu.
Namun Wee dilaporkan berpendapat kerajaan juga perlu membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan ‘Allah’ merujuk kepada Tuhan.
“Pemuda Umno akan sentiasa menjunjung titah Sultan Selangor dan mempertahankan institusi raja dari diperlekehkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tegas Zainuri.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut terkilan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana gagal mempertahankan isu itu sehingga diperkotak-katikkan oleh pihak lain.
Katanya, Abdul Khalid sebagai ketua eksekutif negeri yang dilantik Sultan Selangor wajib berdiri teguh mempertahankan maruah institusi diraja dari diperlekehkan, namun sehingga hari ini beliau hanya mendiamkan diri.
“Sebelum ini kami menunggu kerana mengharapkan sepatutnya Menteri Besar perlu kehadapan memberi kenyataan mempertahankan maruah Baginda bukannya Pemuda Umno.
“Tetapi sekarang kami tidak boleh berdiam diri lagi dan akan berdiri teguh mempertahankan kedaulatan institusi diRaja,” katanya     fmt

No comments:

Post a Comment