Tuesday November
26,2013
Written by Admin
(GOSIP ARTIS)
OLEH: SALMAH WAN
DZULKIFLIE
KUALA LUMPUR: “Saya umpama mencuci najis,” demikian luah bekas
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi yang terpaksa akur
jawatannya telah gugur selepas Mahkamah Tinggi di sini Khamis lalu memutuskan
semua ahli jawatankuasa persatuan berkenaan tidak sah.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33,
berkata, kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pemimpin Seniman sebelumnya
adalah satu perkara yang amat menyedihkan kerana ia turut mengheret kepimpinan
terbaharu dalam kemelut tersebut sehingga peranan mereka dibatalkan.
“Saya umpama mencuci tahi orang. Bila kita dah cuci
(tahi) itu bersih-bersih, ia jadi (tahi) semula. Kami adalah mangsa keadaan
kerana kesilapan pemimpin-pemimpin terdahulu.
“Saya amat-amat sedih dengan keputusan mahkamah ini
tetapi apa boleh buat. Saya terpaksa terima. Kami benar-benar teraniaya,” kata
Zed Zaidi dalam satu pertemuan dengan kira-kira 50 ahli Seniman di Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu.
Selain Zed Zaidi, pertemuan itu turut disertai beberapa
bekas ahli jawatankuasa persatuan tersebut termasuklah bekas Setiausaha
Kehormat, Zahrin Ishak.
Pertemuan itu diaturkan oleh Setiausaha Kerja Seniman 1
dan 2, Raja Mohd Faizal Raja Mohamad Anuar dan Juniza Maslan yang mengambil
alih tugas mengemudi persatuan buat sementara waktu.
Zed berkata, semasa menjadi Presiden Seniman, pelbagai
usaha telah dilakukannya termasuklah berhasrat mewujudkan kad diskaun 1Malaysia
untuk golongan artis, insurans serta perumahan rakyat bagi golongan berkenaan.
Dalam
pada itu sebahagian ahli-ahli menyatakan kesediaan mereka terhadap Zed Zaidi
untuk memimpin pesatuan Seniman pada AGM akan datang.
Bagaimanapun usaha itu terbantut selepas
beliau dan beberapa pemimpin lain telah gugur jawatan akibat arahan mahkamah.
“Agenda saya dalam Seniman ini amat besar.
Saya mahu meningkatkan darjat artis-artis yang sering dipandang rendah agar
terus dihormati, tetapi saya tidak berjaya,” katanya dalam keadaan yang cukup
hiba.
Dalam pada itu Zahrin yang masih kekal
jawatannya sebagai penasihat undang-undang persatuan itu berkata, walaupun
tidak berpuas hati dengan beberapa perkara, pihaknya tidak berhasrat mencabar
keputusan Mahkamah Tinggi sebaliknya menantikan pemilihan jawatankuasa baharu
yang akan diuruskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa dua bulan
bermula 21 November 2013.
Katanya, mereka tidak mahu membazir kerana
sesuatu perkara yang dibawa ke mahkamah akan memakan masa yang lama selain
melibatkan kos yang tinggi.
“Sesuatu kes akan memakan masa yang lama
kadang-kadang sehingga dua tahun. Malah, berkemungkinan besar ia memerlukan kos
yang tinggi, mungkin lebih besar daripada kos yang sepatutnya pihak defendan
diarahkan bayar,” katanya.
Ditanya pemberita sebagai penasihat
undang-undang sejak era Harun Salim Bachik sebagai presiden, kenapa beliau
gagal menasihati ahli-ahli Seniman agar tidak meneruskan mesyuarat Agung
Tahunan (AGM) ke 14 kerana pemimpin ketika itu gagal mengesahkan minit
mesyuarat sebelumnya Zahrin berkata, ia diadakan selepas mendapat mandat
ahli-ahli.
Katanya, majoriti ahli bersetuju untuk
meneruskan AGM-14 walaupun Harun serta pemimpin-pemimpin yang lain memberi
alasan tidak dapat membentangkan minit mesyuarat untuk disahkan kerana dokumen
itu hilang selepas pejabat Seniman didakwa mereka telah dipecah masuk.
“Ahli-ahli telah bersetuju untuk meneruskan
AGM-14 bagi memilih kepimpinan baru maka sebab itulah mesyuarat berkenaan
diteruskan juga dan Zed Zaidi dipilih sebagai presidennya. Kami tidak menyangka
ia akan jadi seperti ini,” katanya.
Terdahulu dalam sidang media berkenaan, Zed
Zaidi masih mendapat sokongan kuat apabila sebahagian besar ahli-ahli yang
Sambil melaungkan kata-kata ‘hidup Zed Zaidi’ ahli-ahli
Seniman itu antara lain memuji Zed Zaidi antara pemimpin yang cekap dalam
menjalankan tugasnya membela nasib artis-artis di negara ini.
Pada Khamis lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi
di sini Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Persatuan
Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di
Dataran Karyawan Finas, di sini, adalah terbatal dan tidak sah.
Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat
iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim
Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi
khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada
Persatuan Seniman.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed
Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab
(Den Wahab).
Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan
berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.
Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan
saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan
perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah
kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan
pindaan undang-undang.
Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai
plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior
Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.
Wartawan Hiburan Free Sandakan Today Petaling
Jaya akan terus mengikuti perkembangan artis tanah air dari masa kesemasa
terutama sekali kes Zed Zaidi dan SENIMAN
·
No comments:
Post a Comment