Saturday, 23 November 2013

KES CULIK WANITA TAIWAN POLIS YAKIN MASIH SELAMAT....KHALID

Saturday November, 23, 2013 -

By Admin

KUALA LUMPUR: Polis yakin wanita rakyat Taiwan yang diculik di Pulau Pom Pom, Semporna, Jumaat lepas berada dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata perkara itu berdasarkan rakaman percakapan polis bersama kumpulan yang disyaki menculik wanita itu baru-baru ini.
Beliau berkata polis meneruskan kerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina dalam usaha menyelesaikan kes itu.
“Kami yakin wanita itu selamat kerana kami telah mendapat rakaman percakapan dengan penculik, dan pegawai-pegawai saya kini berada di Manila untuk berbincang dengan pihak berkuasa Filipina.
“Kami juga berhubung dengan wakil Taiwan di Filipina. Kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan wanita itu selamat, itu sahaja maklumat yang boleh kami berikan setakat ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Khalid ditemui selepas memperkenalkan Unit Elit Polis Diraja Malaysia (PDRM yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas mengenai Jenayah Terancang (Stafoc).
Pada 15 Nov, seorang wanita rakyat Taiwan berusia 58 tahun diculik manakala seorang lelaki juga rakyat Taiwan berusia 57 tahun ditembak mati ketika bercuti di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah.
Khalid mengulangi permintaannya agar media tidak menyebarkan maklumat mengenai latar belakang mangsa culik atas faktor keselamatan wanita itu.
Sementara itu, Khalid berkata polis menahan empat individu termasuk ketua kumpulan ajaran sesat bagi membantu siasatan kes tembak mati Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Raffli Abdul Malik, 49, pada 10 Nov lepas.
“Setakat ini biarlah kami siasat dahulu dan apa juga perkembangannya nanti kemudian akan kami beritahu,” katanya.

No comments:

Post a Comment