Thursday 21 November 2013

Adakah kes culik jejas industri pelancongan Sabah?

Thursday  November 21, 2013 By Admin

 OLEH: PERCY GOLIU
Kejadian pembunuhan dan penculikan di Pulau Pom Pom boleh berlaku di mana-mana di dunia ini tetapi jika ia berlaku berulang kali (di Sabah), ia boleh menghantar mesej kepada seluruh dunia mengenai kelemahan sistem keselamatan negara.




ANALYSIS





















KOTA KINABALU: Malang bagi industri pelancongan Sabah apabila dalam masa terdekat ini, ia pasti kehilangan ramai pelancong berpotensi dari Taiwan gara-gara insiden bunuh dan culik pasangan dari negara itu ketika mengunjungi Pulau Pom Pom di Sempurna, Jumaat minggu lalu.
Ini diburukkan lagi selepas Taiwan mengeluarkan amaran warna ‘oren’ iaitu kedua tertinggi daripada empat warna sistem advisori pelancongan negara itu yang menasihatkan rakyatnya untuk mengelak daripada berkunjung ke Sabah.
Kejadian terbaru ini pasti menjejaskan usaha-usaha yang sudah digaris oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta pemain-pemain utama dalam industri pelancongan negeri memandangkan negara-negara dari Asia Utara seperti China, Hong Kong, Korea dan Jepun merangkumi lebih 50 peratus daripada kira-kira 100,000 pelancong yang tiba di negeri ini sehingga September tahun ini.
Menterinya, Datuk Masidi Manjun perlu inovatif dan panjang akal untuk menterbalikkan situasi jika keadaan tidak memihak kepada usaha-usahanya memandangkan ini merupakan tamparan kedua yang perlu dihadapi industri pelancongan tahun ini yang menjana pendapatan lumayan kira-kira RM5 bilion (angka tahun lalu).
Walaupun beliau optimis dan menjangkakan kejadian terbaru tidak akan memberi kesan yang ketara, sesuatu mesti perlu dilakukan untuk terus menjadikan kepulauan Sabah menjadi destinasi utama. Kerajaan mesti mengetatkan keselamatan.
Tidak dinafikan industri pelancongan negeri menghadapi banyak cabaran sejak akhir-akhir ini daripada krisis ekonomi hinggalah kepada wabak penyakit, bencana alam dan penggantungan penerbangan terus ke negara lain.
Pencerobohan pengganas bersenjata di Kampung Tandua Lahad Datu pada awal tahun juga memberi kesan kepada industri kerana ia memberi isyarat seolah-olah negeri ini tidak selamat untuk dikunjungi.
Ahli Dewan Undangan Negeri  (Adun) Senallang, Datuk Nasir Sakaran berkata, kejadian pembunuhan dan penculikan di Pulau Pom Pom boleh berlaku di mana-mana di dunia ini tetapi jika ia berlaku berulang kali (di Sabah), ia boleh menghantar mesej kepada seluruh dunia mengenai kelemahan sistem keselamatan negara.
Oleh itu katanya, kerajaan perlu menyelaraskan segala jadual rondaan dan pemantauan manakala kemudahan keselamatan dan infrastruktur di pos keselamatan di pulau-pulau, terutama di pantai timur Sabah dipertingkatkan.
“Ini untuk memastikan ahli-ahli pasukan keselamatan sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental apabila berlaku ancaman,” katanya membahaskan Bajet 2014 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment