Wednesday 20 November 2013

KEMPEN BOIKOT PATI BAGI ATASI MASALAH DI SABAH HARUS DILANCARKAN

Rabu November, 20, 2013 - 
Written by Admin

OLEH: CHARLES P ANDIANG

KOTA KINABALU:-Cadangan Kempen “Boikot PATI”  bagi memperhebat usaha mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sekian lama dihadapi di Sabah harus dilaksanakan
Datuk Joniston Bangkuai (BN-Kiulu) berkata kempen tersebut termasuk membataskan peluang pendatang warga asing tidak sah mencari pendapatan di negeri ini seperti memberi pekerjaan dan menyewakan tanah atau premis perniagaan kepada mereka.
“Bukan mahu menafikan rezeki mereka, tetapi kita sebagai rakyat di Sabah seharusnya menikmati keistimewaan sebagai warganegara Malaysia, bukannya mereka.
“Mungkin ada pihak yang terjejas, contohnya pengusaha restoran atau pihak industri binaan. Tetapi kenapa di negeri lain mereka boleh lakukannya tanpa menggaji PATI” katanya ketika membahaskan Bajet Negeri 2014 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini semalam.
Jelasnya, kesukaran PATI untuk mendapat pekerjaan atau menjalankan perniagaan di Sabah mungkin boleh membantutkan hasrat lebih ramai warga asing datang ke sini secara haram.
Menurut Joniston, kempen tersebut melengkapkan usaha yang dilancarkan oleh kerajaan pusat untuk mengatasi masalah PATI di Sabah seperti penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pelbagai operasi mencari PATI oleh agensi-agensi berkaitan.

No comments:

Post a Comment