Sunday 24 November 2013

PPR GUM-GUM TIDAK BERKUALITI LATAR SANA LATAR SINI KOTOR LAGI....CHANG SHAK HUNG



Sunday, November 24, 2013
Written by  Admin

Surat Terbuka kepada Editor

Saya mohon izin untuk menggunakan sedikit ruang Portal Free Sandakan Today untuk meluahkan apa yang tersirat dan yang  tersurat mengenai  masalah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Gum-Gum

Sebagai mana yang kita sedia maklum bahawa Program Perumahan Rakyat (PPR) yang telah dan sedang dibina di seluruh Malaysia, pada asalnya memang untuk memberi peluang kepada mereka yang berpendapatan rendah serta penduduk setinggan untuk mendapatkan sebuah rumah.

Namun yang demikian, kualiti pembinaan yang amat meragukan untuk rumah pangsa kos rendah di Flat PPR Taman Jaya, Gum-Gum, Batu 16, patut diambil perhatian. Adakah ia telah mengikut spesifikasi perancangan dan rekabentuk dalam Standard Perumahan Kebangsaan Bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa (CIS2)?

Penolong Setiausaha, Jawatankuasa DAP Sandakan merangkap Pengerusi DAP Cawangan Sentosa, Chang Shak Hung telah menerima aduan daripada penduduk di flat berkenaan dan beberapa kecacatan yang jelas kelihatan adalah seperti keretakan teruk di bahagian dinding bangunan, cermin tingkap yang telah hilang, isu-isu kebersihan serta pintu dalam lot-lot rumah yang telah rosak. Chang Shak Hung juga telah mengajukan isu-isu berkaitan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan penjelasan.

Program Perumahan Rakyat yang diilhamkan bermula di Pahang dan kemudiannya diperluaskan ke negeri Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Sabah serta Sarawak mulai Rancangan Malaysia ke-10 dengan terbahagi kepada 2 kategori iaitu PPR Disewa (PPRS) dan PPR Dimiliki (PPRM). Harga setiap PPRM adalah RM30,000 hingga RM35,000 di Semenanjung Malaysia manakala PPRM di Sabah dijual dengan harga RM40,500 seunit. Di kawasan bandar-bandar besar, jenis rumah bertingkat antara 5 hingga 18 tingkat manakala di pesisir dan pinggir bandar adalah daripada  jenis “landed properties”. Keluasan setiap lot adalah tidak kurang daripada 700 kaki persegi dengan 3 bilik tidur, 1 ruang tamu, 1 ruang dapur dan 2 bilik air.

Saya  amat kesal dengan kualiti yang dibina dan pemantauan yang dibuat oleh pihak yang berwajib dalam menyediakan rumah kos rendah kepada penduduk yang rata-rata berpendapatan rendah. Adakah bermakna perumahan kos rendah juga membawa erti kualiti rumah juga berada dalam keadaan rendah? Di manakah komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan yang sedemikian rupa kepada rakyat Malaysia?!


Sekian terima kasih
Yang benar
(CHANG SHAK HUNG






 BUKTI keadaan di kawasan PPR Gum-Gum yang langsung tidak berkualiti



No comments:

Post a Comment