By Admin
Putrajaya wajib memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk memberikan penjelasan, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
PETALING JAYA: PKR menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap laporan yang mengatakan agensi risikan Singapura terlibat dalam aktiviti mengintip telekomunikasi dan trafik internet termasuk dari Malaysia.
Menurut laporan, intipan itu dijalankan melalui tap terhadap kabel telekomunikasi optikal submarin (SEA-ME-WE-3) yang menghubungkan negara-negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah Barat.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil bertegas bahawa kerajaan harus meminta penjelasan daripada Singapura mengenai isu ini.
“Putrajaya wajib memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk memberikan penjelasan adakah benar risikan Singapura telah melakukan aktiviti intipan sebegini sejak tahun 1970 an lagi.
“Putrajaya juga wajib menghantar surat bantahan kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura atas aktiviti intipan sebegini, yang dilapor dilakukan dengan kerjasama Singapore Telecommunications Limited (SingTel),” katanya melalui satu siaran media yang diedarkan hari ini.
Pada masa yang sama, Fahmi berkata kerajaan wajib meminta penjelasan dari Singapura adakah mana-mana pimpinan tertinggi negara yang menjadi mangsa intipan tersebut, tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Canselor Jerman Angela Merkel, menurut Fahmi, merupakan seorang pemimpin yang pernah menjadi mangsa intipan apabila beliau menjadi mangsa intipan oleh Agensi Keselematan Negara (NSA) Amerika Syarikat sejak tahun 2002.
Tambahnya lagi, isu intipan ini dipandang serius oleh PKR memandangkan Malaysia dan Singapura sedang berkerjasama untuk beberapa projek mega seperti pembinaan sistem kereta api laju yang sedang berlangsung.
“Jika isu ini tidak ditangani dengan pantas dan tegas, ia mungkin akan menjejaskan hubungan antara negara,” katanya lagi
No comments:
Post a Comment