Friday 29 November 2013

Kenapa tak bantah dalam sidang Dewan?

 

Zabidi Saidi  Friday  November 29, 2013 By Admin
Kelab Penyokong Kerajaan Selangor membuat pusingan 180 darjah apabila pengerusinya meminta pentadbiran Kerajaan Negeri mengkaji semula keputusan yang telah diluluskan.
 











PETALING JAYA: Semalam Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM ) Johor menjadi antara yang pertama menyuarakan rasa tidak bersetuju terhadap kenaikan gaji yang terlalu tinggi DUN Selangor di kala rakyat masih terbeban dengan kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin mendesak.
Menurut Penyelaras SAMM Johor, Roslee Mohd Shariff,setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan termasuklah komentar Ketua Pembangkang yang menyatakan kenaikan itu terlalu tinggi, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor membuat pusingan 180 darjah apabila Pengerusinya, Azmin Ali membuat kenyataan meminta pentadbiran Kerajaan Negeri mengkaji semula keputusan yang telah diluluskan semalam.
“Mengapa semalam sewaktu usul pindaan dibentangkan di Dewan DUN, BBC Selangor tidak menyatakan bantahan atau menolak usul ini daripada diluluskan? “ kata beliau dalam satu kenyataan kepada FMT.
Tanyanya lagi, adakah BBC berpandangan bahawa Dewan DUN itu adalah seperti sebuah set penggambaran drama?
“Di dalam Dewan DUN, mereka mengundi untuk meluluskan usul kenaikan namun apabila berhadapan dengan media BBC membuat pusingan 180 darjah dan meletakkan semua beban kesalahan kepada Menteri Besar seorang,” ujarnya,
Roslee berkata kelulusan kenaikan gaji ini bukanlah keputusan eksekutif semata-mata. Ia adalah keputusan kolektif kesemua ahli Dewan Negeri Selangor.
“Ia dibahaskan dan diundi untuk kelulusan. Maka, adalah tidak patut setelah pelbagai lapisan rakyat menyatakan bantahan termasuklah Ketua Pembangkang yang menyatakan bahawa kenaikan ini terlalu tinggi, barulah BBC tersedar daripada lenanya,” katanya lagi.
Beliau bertanya apakah kenyataan Pengerusi BBC ini hanya untuk mengampu Ketua Pembangkang yang juga merupakan Ketua Umum PKR semata-mata?
“ Setelah Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tersebut barulah BBC tersedar ataupun semasa usul ini dibahaskan semalam Pengerusi BBC tidak berada di dalam Dewan DUN sehinggakan beliau tidak menyedari usul kenaikan gaji ini dibahaskan?” soal beliau.
Menurutnya lagi, rasional perbandingan gaji Menteri Besar, Exco, ADUN, Speaker dan Timbalan Speaker dengan swasta bukan satu justifikasi yang boleh diterima pakai.
“ Swasta atau korporat adalah merupakan organisasi yang berorientasikan keuntungan sedangkan pentadbiran Kerajaan lebih berorientasikan khidmat kepada rakyat. Jika rasional ini digunapakai, maka seharusnya seluruh penjawat awam Negeri Selangor perlu menerima gaji yang setara dengan sektor swasta, jelas beliau.
Beliau mahu Khalid Ibrahim cukuplah bermain wayang.
“Rakyat tidak buta. Rakyat tidak pekak. Rejim Pakatan Rakyat jangan mengikut telatah rejim Barisan Nasional yang sering menghina akal rakyat. Apa yang boleh kita simpulkan BBC Selangor telah menjadi Kelab Kongkalikong. Apa yang sedang anda persembahkan ini jelas menghina intelektual rakyat.,” kata beliau. fmt

No comments:

Post a Comment