Saturday 23 November 2013

Mudah-mudahan lahir anak sulung di Sabah, Sarawak

OLEH: ANIS NAZRI

SHAH ALAM: "Biarpun tewas dalam pilihan raya umum lalu, kami di Sabah akan terus berjuang bagi memartabatkan Islam di negeri itu, dan tidak sesekali berasa kerdil, rasa tewas, sebaliknya akan terus berjuang," kata perwakilan Sabah, Dr. Ali Akbar Gulasan.

Justeru, tegas beliau PAS perlu mewujudkan satu portfolio khas berhubung Sabah dan Sarawak bagi memastikan isu-isu di negeri itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Beliau turut mengaitkan cadangan beliau itu dengan arahan kesembilan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang menyeru agar maklumat disampaikan dari peringkat ahli parlimen sehingga ketua kampung.

"Malangnya, yang sedih apabila ada maklumat yang disalurkan kepada rakyat, dari rakyat, apabila minta ahli parlimen membangkitkan isu Sabah, ia tidak berlaku di parlimen," kata beliau ketika membahaskan ucapan dasar presiden.

Sehubungan itu, PAS Sabah menggesa ahli parlimen PAS yang terpilih agar tidak meminggirkan isu-isu Sabah memandangkan tiada wakil Sabah dan Sarawak, sama ada di dewan undangan negeri, mahupun parlimen.

Dalam masa sama, Dr. Ali turut meminta agar kesepakatan dalam Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan, khususnya bagi memastikan calon yang diletakkan rakan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya bagi mengelakkan berlaku isu lompat parti.

"Mudah-mudahan, dengan persepakatan ini, maka akan lahirlah anak sulung dari Sabah dan Sarawak, sama aada di dewan undangan negeri mahupun parlimen," tegas beliau. HARAKAH

No comments:

Post a Comment