Friday, 25 October 2013

MPS RAMPAS 330 BIJI TELUR PENYU SELUDUP



Written by Admin

OLEH: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN: Sebanyak 330 biji telur penyu yang diseludup dari negara jiran telah dirampas oleh Bahagian Unit Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS dalam operasi penjaja haram di sini kelmarin.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan MPS Sairin Abd Rahman yang mengetuai operasi itu bersama 10 anggotanya berkata operasi ditumpukan di kawasan Pasar Am Sandakan dan kedai berhampiran.
Katanya telur penyu yang dirampas itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan dijual secara haram di daerah ini.
Turut dirampas dalam operasi pada 9.30 pagi itu, ialah 281 kotak rokok seludup. Tiada sebarang tangkapan dilakukan.
Beliau berkata telur penyu berkenaan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah manakala rokok diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.
Seseorang yang memiliki telur penyu di Sabah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara lima bulan, jika sabit kesalahan.
 Kata pegawai itu lagi orang ramai yang membeli telur penyu seludup  itu juga boleh diambil tindakan undang-undang.

No comments:

Post a Comment