Saturday 26 October 2013

Maritim Sabah, Labuan rampas barangan seludup bernilai RM6 juta


By Admin

KUALA PENYU:- Wilayah Maritim Sabah dan Labuan merampas barang-barang kawalan yang diseludup bernilai kira-kira RM6 juta sejak 2006 hingga kini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata nilai barangan rampasan seperti diesel dan petrol, minuman keras, rokok, gula, beras, tepung dan minyak masak sejak Januari sehingga kini, berjumlah RM1.82 juta.
“Bagi tempoh itu, APMM menahan 1,377 pendatang tanpa izin antaranya 485 warga Indonesia dan 754 warga Filipina manakala bagi operasi mencari dan menyelamat, kita menyelamatkan 852 nyawa,” katanya dalam teks ucapan pada Program Jiwa Murni Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kampung Palu-Palu di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu Limus Jury.
Justeru, Shahidan berharap penduduk tempatan terus bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktviti jenayah dan kecemasan di laut.
Terdahulu, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim, Datuk Mohd Amdan Kurish ketika berucap menyeru lebih ramai pihak terutama korporat dan swasta tampil bekerjasama menyertai kempen kesedaran keselamatan di laut kerana tahap kesedaran keselamatan di laut masih rendah.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mohd Amdan berkata APMM telah mewujudkan enam pangkalan baharu di persisir pantai Sabah sebagai tindakan susulan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Kudat, Felda Sahabat, Kunak, Indera Sabah, Beluran dan Jambongan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di negeri itu.
Program Jiwa Murni yang dilaksanakan sejak 2007 merupakan khidmat komuniti tahunan di lima Wilayah Maritim di seluruh negara bertujuan mendekati masyarakat nelayan dengan mengenal pasti dan membantu mengatasi masalah semasa yang dihadapi mereka.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk membaik pulih jeti nelayan, penyampaian sumbangan kepada Sekolah Agama Palu-Palu dan Orang Kurang Upaya (OKU), penyampaian jaket keselamatan dan gotong-royong membersihkan kawasan pesisir pantai..Borneo Insider


No comments:

Post a Comment