Tuesday 22 October 2013

ANAK JATI SABAH SHAFIE APDAL PERTAMA MENJADI NAIB PRESIDEN UMNO





Admin......Share


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengekalkan kerusi naib presiden Umno dalam pemilihan parti semalam, merupakan pemimpin pertama dari Sabah memegang jawatan kanan parti itu.


Beliau yang menggalas tanggungjawab itu sejak 2009, memperoleh undi kedua tertinggi untuk terus bergandingan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk penggal 2013-2016.Ahmad Zahid mendapat 185 undi, Mohd Shafie 174 undi dan Hishammuddin 100 undi.


Mengimbas latar belakang beliau, Shafie merupakan anak jati Kampung Bubul, Semporna, Sabah, dan dilahirkan pada 20 Okt 1957. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi dari 
Universiti Staffordshire, England.

Hasil perkongsian hidup yang dimeterai sejak tahun 1983 bersama Datin Seri Shuryani Shuaib, beliau dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu Mohd Shazni, Mohd Shazwi, Mohd Shahran, Mohd Shahmi, Shafiq dan Sabrina.


Memulakan langkah dalam politik seawal usia 33 tahun dalam Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (Usno), Shafie menjadi anggota Umno secara rasmi apabila Usno bersatu dengan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) membentuk Umno.

Karier beliau dalam politik bermula secara serius pada tahun 1991 apabila dilantik menjadi setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tun Sakaran Dandai yang ketika itu Menteri Pembangunan Tanah dan Pembangunan Koperasi.

Pada tahun yang sama, Mohd Shafie turut menjadi Ketua Pemuda Umno Semporna dan seterusnya dipilih menjadi Naib Pengerusi Pemuda Umno Sabah.


Kemudian, pada tahun 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Semporna apabila mengalahkan Sabardin Ombrah dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan majority 12,218 undi, seterusnya mempertahankan kerusi berkenaan sehingga lima penggal berturut-turut termasuk pilihan raya umum ke-13 Mei lepas.

Beliau mula mengorak langkah lebih jauh dalam Umno apabila dipilih menjadi anggota Majlis Tertinggi (MT) pertama kali pada tahun 1996, kemudian terus dikekalkan oleh perwakilan pada tahun 2000 dan 2004.


Mohd Shafie bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti 2009 dan menang.

Karier beliau dalam kerajaan bermula apabila menjadi Ahli Ekonomi Kementerian Kewangan Sabah pada tahun 1982, Pegawai Tadbir Kanan, Jabatan Ketua Menteri Sabah pada tahun 1984, dan Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Luar Bandar Sabah pada tahun 1987.


Pada tahun 1995, beliau mula terlibat dalam pentadbiran kerajaan Pusat apabila dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan. Kemudian beliau dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Mei 1999 dan Timbalan Menteri Pertahanan (Disember 2009).

Seterusnya beliau diberi mandat menteri penuh apabila dilantik menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Mac 2004 sebelum menjadi Menteri Perpaduan Negara, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Mac 2008), dan dilantik Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2009 hingga sekarang/Borneo Insider


No comments:

Post a Comment