Tuesday, 22 October 2013

GANDINGAN MUKA LAMA DAN MUKA BARU DIPILIH TERAJUI UMNO




Admin....Share




KOTA KINABALU: Gandingan muka baharu dan lama yang dipilih menerajui 25 bahagian di Sabah diyakini dapat mengekalkan momentum kekuatan Umno negeri yang menjadi tunggak kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.
Dengan kemunculan muka baharu itu ia dilihat berupaya mentransformasikan Umno terutama untuk menarik sokongan generasi muda pada pilihan raya umum ke-14.
Pemilihan Umno kali ini menyaksikan barisan kepimpinan yang seimbang khususnya untuk jawatan ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan naib ketua bahagian.
“Saya percaya barisan saf kepimpinan yang dipilih akan bergerak, bekerja, berjuang dan berkhidmat sebagai satu pasukan yang mantap bersama-sama Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjayakan perjuangan dan agenda Umno untuk rakyat,” kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semasa mengulas keputusan pemilihan parti.
Musa yang mengemudi BN mencapai kejayaan cemerlang pada pilihan raya lepas  mendahului senarai penyandang yang menang tanpa bertanding sebagai Ketua Umno Bahagian Libaran.
Turut menang tanpa bertanding adiknya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi Ketua Bahagian Umno Kimanis, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin (Putatan), Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Hajiji Noor (Tuaran), Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfik Titingan (Tawau), Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad (Sipitang), Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun (Ranau) dan Datuk
Rubin Balang (Tenom) dan Datuk Faisyal Diego (Kota Kinabalu).
Ketika mengumumkan keputusan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Negeri Sabah Datuk Nurnikman Abdullah berkata 14 penyandang termasuk naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengekalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Semporna yang disandang sejak 1996.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan anggota Parlimen Semporna mengetepikan dua pencabarnya iaitu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Harman Mohamad dan bekas Ketua Pemuda Bahagian Semporna Nixon Abdul Habi.
Antara calon tunggal muka baharu ialah adik Mohd Shafie, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu Datuk Yusof Apdal turut menewaskan penyandangnya Datuk Datu Nasrun Datu Mansur bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Silam.
Turut menarik perhatian ialah bagi jawatan ketua bahagian Beaufort apabila Isnin Aliasnih yang sebelum ini memangku ketua bahagian Beaufort menewaskan dua beradik iaitu Ketua Puteri Umno bahagian Beaufort, Saridah Mohd Dun dan kakaknya iaitu naib ketua Wanita pusat Datuk Azizah Mohd Dun yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Antara tokoh lama dipilih semula ialah Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Keruak (Kota Belud), Datuk Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan) dan Tan Sri Ampong Puyon (Sandakan).
Apa yang dilihat sebagai satu kejutan dalam pemilihan ketua bahagian kali ini apabila Datuk Bung Moktar Radin (gambar) yang memenangi ketua bahagian Kinabatangan tiba-tiba menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan itu beberapa jam selepas menewaskan pencabar anggota Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman dengan majoriti 100 undi.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian menampilkan 10 orang yang menang tanpa bertanding termasuk dua muka baharu iaitu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan di Tuaran dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Musbah Jamli (Kota Belud).
Sementara itu, muka-muka baharu yang bertanding dan menang ialah anggota Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi (Tenom), bekas ketua pergerakan Pemuda Sabah Awang Kadin Tang (Sandakan), naib ketua Umno Beluran Mahmud Awang Hussin (Beluran), Annuar Ayub (Keningau), Hussien Oyong (Kota Marudu), Mohd Fazlee Lee Abdullah (Beaufort) dan Abi Wednes Gagamboi (Pensiangan).
Bagi naib ketua bahagian menampilkan 13 muka baharu termasuk anggota Dewan Undangan Negeri Kunak Datuk Nilwan Kabang (Silam) dan Adun Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong (Semporna).
Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno Sabah Datuk Kadzim M. Yahya berkata pihaknya berpuas hati dengan perjalanan proses pemilihan itu, namun menurutnya masih ada ruang untuk penambahbaikan sistem pemilihan.
“Satu unit khas boleh ditubuhkan bagi menyelaras proses pemilihan agar perwakilan lebih biasa dengan keadaan itu,” katanya.
Mengulas keadaan perwakilan Umno bahagian Semporna yang mengambil masa lebih 12 jam untuk mengundi, Kadzim berkata situasi itu berlaku kerana bilangan anggota perwakilan yang ramai dan perlu mengambil masa lama untuk menunggu giliran mengundi. Borneo Insider

No comments:

Post a Comment