Saturday 26 October 2013

SERAMAI 117,000 PERMOHONAN MEMASUKI KOLEJ VOKASIONAL DITERIMA ...YAP

Written By Admin

OLEH: SHAIMON S JUMADI

LAHAD DATU:-  Seramai 117,000 permohanan untuk memasuki kolej Vokasional (KV)  telah diterima bagi sesi pengambilan  tahun 2013 di seluruh negara amat menggalakan berbanding kapasiti yang mampu ditampung hanya 12,000 pelajar
 Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching (gambar)  menjelaskan permintaan menggalakkan ini hasil usaha Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dan KV menerusi program promosi melalui media arus perdana, Program Jelajah KV, Taklimat Penataran Transformasi Pendidikan Vokasional, Program Konsolidasi serta Persidangan Kebangsaan Pendidikan Vokasional.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan,” kata Yap ketika berucap merasmikan Ekspo Pertanian Kolej Vokasional Lahad Datu 2013 dan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman serta Niat Bekerjasama antara KV Lahad Datu dan tujuh syarikat swasta di sini hari ini.
Menurut Yap selepas dinaik taraf daripada sekolah teknik biasa kepada status kolej, sistem pendidikan KV turut berubah kepada sistem semester dan pelajar perlu menamatkan pengajian selama empat tahun untuk layak mendapat Diploma Vokasional Malaysia.
Katanya sepanjang tempoh pembelajaran berkenaan, pelajar akan mengikuti program latihan sambil bekerja dan Pendidikan Berasaskan Pengeluaran bagi melahirkan kumpulan tenaga mahir yang mempunyai pasaran kerja tinggi.
Bagaimanapun Yap berharap KV akan terus berusaha memastikan lulusan diploma kolej itu mendapat pengiktirafan Lembaga Jurutera Malaysia agar lebih ramai remaja Malaysia berminat berkecimpung dalam bidang vokasional sekali gus menyumbang secara positif kepada pembangunan ekonomi negara.
Beliau turut menyarankan kepada BPTV supaya turut memberi tumpuan kepada penjenamaan kolej itu dengan merangka strategi penjenamaan bagi manjadikan KV tumpuan utama pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.
Mengenai permohonan ke KV yang melebihi kapasiti kolej itu sendiri, Yap berkata perkara itu disedari kerajaan dan langkah mengatasinya terangkum dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

No comments:

Post a Comment