Thursday 22 May 2014

IBU BAPA TIDAK BOLEH BOSAN MEMELIHARA ANAK-ANAK MEREKA YANG KURANG UPAYA....TEGAS JAINAB



Written by Admin
Thursday May 22.2014
  
OLEH: SAIMON S JUMADI


SANDAKAN:_Golongan ibu bapa tidak seharusnya merasa bosan dan  tertekan sekiranya mempunyai anak-anak istimewa (cacat) malah hendaklah membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Jainab Ahmad Ayib berkata golongan yang termasuk dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) ini sebenarnya memainkan peranan cukup penting terutama dalam konteks pembangunan negara.

Ini katanya, OKU bukan sahaja mendapat perhatian daripada pihak kerajaan yang berkaitan soal kebajikan bahkan lebih banyak kini pusat didikan kanak-kanak kurang upaya telah diwujudkan bagi memastikan mereka mendapat pendedahan secukupnya.

"Pendedahan yang diberikan adalah daripada segi diberikan tunjuk ajar untuk berdikari dan belajar memahami pelbagai perkara apabila menempuh cabaran hidup.

"Kanak-kanak istimewa ini perlu diberikan perhatian sebab mereka juga seperti insan yang lebih sempurna. Kita mesti sedia dengan kehadiran mereka.

"Saya selalu menggalakkan agar ibu bapa boleh menghantar kanak-kanak istimewa ke pusat didikan kanak-kanak kurang upaya yang menyediakan asuhan berbentuk pendedahan untuk belajar sekali gus mengenali masyarakat di persekitaran mereka. 

"Apabila mereka keluar atau sudah besar mungkin boleh bekerja di sektor-sektor pekerjaan yang boleh menerima perkhidmatan golongan berkenaan," jelasnya.

Hajah Jainab berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Kaamatan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan anjuran Lembaga Pelawat taman berkenaan di Batu 1 1/2, Jalan Utara, di sini, petang kelmarin.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Sabah, Datuk Armani Haji Mahiruddin dan Pengerusi Lembaga Pelawat Taman Didikan itu, Dr. Srinivasarajoo A/K Krishnasamy serta pegawai-pegawai kerajaan termasuk pemimpin NGO sekitar Sandakan.

Justeru, beliau berharap masyarakat setempat tidak melupakan golongan berkenaan memandangkan mereka juga memainkan peranan penting khususnya apabila didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan.

Tambahnya, ramai di kalangan anak-anak kurang upaya yang berjaya dan boleh menyumbang kepada ekonomi negara ekoran perhatian pihak kerajaan selain kebajikan mereka tidak pernah diabaikan.
  
"Kalau kita memberikan perhatian yang secukupnya maka golongan ini juga mampu menyumbang. Yang penting nilai-nilai kasih sayang selain menghargai kehadiran mereka dalam sesebuah keluarga," ujarnya.


No comments:

Post a Comment