Friday, 1 November 2013

Dakwaan rakyat M’sia biaya serangan MNLF di Zamboanga sedang disiasat



By Admin

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia sedang mengumpul lebih banyak maklumat berhubung dakwaan bahawa serangan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di Zamboanga City pada September mendapat sokongan seorang pembiaya di Malaysia.
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata beliau maklum tentang perkembangan itu.
“Kami sedang mengumpul maklumat tentang perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Akhbar ‘Philippine Star’ melaporkan Polis Nasional Filipina sedang menjejaki pembiaya berwarganegara Malaysia itu yang mendakwa dia menerima bayaran secara mingguan daripada penyumbang dari Malaysia untuk membiayai serangan itu.
Akhbar itu memetik seorang warganegara Malaysia sebagai berkata pembiaya berkenaan mengirim kepadanya US$20,000 seminggu untuk menyokong operasi MNLF di Zamboanga City yang bermula pada 9 Sept.
Sementara itu, bekas duta Malaysia di Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad menggesa Kementerian Dalam Negeri menyiasat dakwaan itu, yang beliau sifatkan sebagai “satu perkara keselamatan yang serius”.
“Saya terperanjat membaca laporan itu,” katanya apabila dihubungi
Menurut laporan akhbar berkenaan, lebih 400 anggota MNLF menyerang Zamboanga City untuk menawan bangunan dewan bandar raya dan menaikkan bendera ‘Republik Bangsamoro Merdeka’.
Serangan itu menyebabkan kira-kira 190 pejuang MNLF terbunuh selepas pertempuran lebih tiga minggu dan 292 suspek ditawan atau menyerah diri.
Menurut akhbar harian dalam talian itu, 23 anggota tentera serta polis terbunuh dan 180 cedera, manakala 12 orang awam maut dalam kejadian itu....BI

 Nur Misuari serta pengikut beliau dengan bendera ‘Bansamoro Republik’ sebelum kumpulan bersenjata MNLF menyerang Zamboanga City.

No comments:

Post a Comment