Friday, 1 November 2013

KES KEMALANGAN MAUT MALAYSIA ANTARA YANG TERTINGGI DI DUNIA





Setiap tahun sebanyak 70,000 kemalangan dicatatkan dan ini merupakan perkara yang amat serius.
By Admin

PADAWAN:-Malaysia antara negara yang mengalami kadar kemalangan dan kematian yang paling tinggi, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Seri Ismail Ahmad.
Katanya, setiap tahun sebanyak 70,000 kemalangan dicatatkan dan ini merupakan perkara yang amat serius.
“Pada tahun 2011, sebanyak 6,817 kematian dicatatkan diikuti dengan 6,917 kematian pada tahun 2012.
“Daripada angka ini, jelas menampakkan bahawa setiap tahun jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat. Penyumbang utama kemalangan jalan raya ini adalah pembonceng dan penunggang motosikal iaitu sebanyak 60 peratus diikuti dengan kenderaan lain sebanyak 40 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Muda 1 JPJ Peringkat Negeri Sarawak di Ibu Pejabat JPJ di sini semalam..
Hadir sama, Pengarah JPJ Sarawak, Ibrahim Othman.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, walaupun banyak kempen kesedaran dilakukan namun angka kemalangan jalan raya masih terus meningkat.
“Berdasarkan kajian Miros di Malaysia, hanya 35 peratus sahaja rakyat merasa diri mereka takut ditangkap oleh pihak berkuasa jika melakukan kesalahan jalan raya.
“Peratusan ini adalah sangat kecil berbanding dengan negara maju yang mempunyai tahap kesedaran sebanyak 70 peratus di mana tahap Perception Of Being Caught (POBC) rakyatnya adalah sangat tinggi,” ujarnya.
Justeru, katanya, tanggungjawab menangani dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya bukan sahaja terletak pada pihak berkuasa, tetapi sistem seperti AES turut membantu.
“Sesiapa yang melakukan kesalahan akan dirakamkan dalam kamera dan ini mampu meningkatkan perasaan rakyat untuk takut ditangkap.
“Ini sekali gus dapat meningkatkan kadar tahap takut untuk ditangkap pihak berkuasa dari 35 peratus kepada 75 peratus menjelang 2020,” katanya.
Jelasnya, dengan adanya Skuad Muda 1 JPJ beliau percaya ia akan menjadi satu entiti dalam mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan POBC dalam kalangan rakyat Malaysia dalam masa terdekat.
“Pengenalan Skuad ini juga adalah salah satu kaedah dalam membantu pihak JPJ dan akan dilaksanakan menjelang tahun baharu cina tahun hadapan.
“Kesemua ahli Skuad juga harus berpegang kepada empat prinsip utamanya iaitu, Semangat Perpaduan, Keprihatinan tentang Isu Keselamatan Jalan raya, Semangat Sukarelawan dan Patriotisme,” katanya.
Tambahnya, menjelang tahun depan pihak menyasarkan untuk melatih seramai 300,000 orang ahli sukarelawan di bawah Skuad Muda 1 JPJ dan bagi yang berminat boleh mendaftar secara online di laman sesawang JPJ...fmt

No comments:

Post a Comment