OLEH: SHAIMON S JUMADI
KOTA KINABALU: Disebabkan menceroboh negara orang dan sebahagian
daripada mereka sudah menetap di negara ini khususnya di Lahad Datu akhirnya Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan
selama 17 hari bermula 6 Jan depan untuk mendengar kes 30 individu yang didakwa
terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah.
Dalam kes pembicaraan tersebu Hakim Stephen Chung menetapkan 6 hingga
10, 15-17, dan 27-30 Jan serta 10 hingga 14 Feb bagi mendengar kes itu di
Penjara Sabah yang diisytihar sebagai mahkamah terbuka.
Beliau turut menetapkan 15 Dis ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan
memfailkan dokumen dan fakta yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Mahkamah pada
mulanya menetapkan tempoh 11 hari bermula 17 Sept lepas untuk mendengar kes itu
namun menangguhkanya selepas menerima permohonan peguam yang memberitahu mereka
memerlukan masa untuk meneliti pelbagai dokumen dan rakaman serta imej satelit
berhubung kes berkenaan, yang diterima oleh mereka.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata tempoh
perbicaraan yang panjang adalah bagi memastikan prosiding berjalan lancar
dengan sekurang-kurangnya 50 saksi akan dipanggil.
“Bilangan saksi yang akan dipanggil mungkin bertambah, mungkin kurang.
Pada masa yang sama kita juga harus membenarkan pihak pendakwaan menyoal balas
dan harus diingat ada 30 saksi,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan
kes itu.
Antara 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan antara 9
Feb dan 10 April ialah tiga penduduk tempatan termasuk seorang wanita, Norhaida
Ibnahi, 46, kerana melindungi sekumpulan pengganas manakala Abd Hadi Mawan, 49,
dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan
menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh 26 lagi rakyat Filipina termasuk
melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan
pengganas dan melindungi sekumpulan pengganas.
No comments:
Post a Comment