Tuesday, 15 April 2014

PUSAT SATELIT SUKAN NEGARA AKAN DI BINA DI TAWAU SELEPAS KK...KATA KHAIRI

 Written by Admin
Tuesday 15 April 2014

OLEH: SHAIMON S JUMADI


SANDAKAN:  Dengan adanya pusat satelit di bawah Institut Sukan Negara (ISN) akan dibina di Tawau selepas Kota Kinabalu dan Sandakan bagi membantu pembangunan atlet mendapatkan asas latihan sukan yang lebih optimum sejajar dengan matlamat dan dasar sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memberitahu negeri ini memerlukan lebih banyak pusat seumpamanya agar usaha-usaha memberikan pendedahan awal kepada aspek sains sukan dapat ditumpukan memandangkan Sabah adalah sebuah negeri yang mempunyai keluasan besar dan memerlukan penekanan secara bersepadu demi masa hadapan sukan di Malaysia.

Beliau berkata, pembinaan pusat tentu meningkatkan lagi prestasi seseorang atlet disebabkan ia banyak tertumpu kepada usaha memfokus perkembangan atlet dari segi aspek pemakanan termasuklah ujian kecergasan, kesesuaian fizikal selain memberi ceramah motivasi serta sesi kaunseling kepada mereka.

Katanya, menjadi agenda negara untuk melahirkan atlet-atlet yang menjadi pelapis dalam setiap bidang sukan sekali gus mampu bersaing di peringkat antarabangsa sesuai dengan pendekatan pihak kerajaan yang telah mengambil langkah lebih proaktif bagi menggilap dan menyediakan pelapis ke arah memacu kecemerlangan sukan.

"Saya berharap dengan pembinaan lebih banyak pusat satelit terutamanya di negeri ini akan membantu kepada perkembangan kemajuan atlet. Sebab itulah saya sering menekankan kepakaran dan kemudahan sains sukan mesti sampai kepada setiap atlet dan jurulatih agar ianya dapat menyusun strategi serta mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif lagi.

"Kalau kita lihat ujian kecergasan yang diberikan kepada atlet-atlet tadi, nampaknya mereka diberikan pendedahan awal berkaitan persiapan diri seperti terpaksa menjalani beberapa ujian supaya prestasi dapat dipertingkatkan.

"Ini sangan baik dari segi norma kecergasan kerana apabila latihan yang dijalankan lebih kepada soal optimum maka sudah pasti membantu memantau perkembangan kemajuan seseorang atlet yang menjalani latihan asas sains sukan.

"Pusat satelit di Tawau dijangka akan dibina selewat-lewatnya pada tahun depan dan apabila pusat tersebut siap pasti membantu daripada pelbagai aspek kerana ia menyediakan perkhidmatan yang menjurus kepada asas pendidikan kesukanan," jelasnya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sejurus selepas menyempurnakan perasmian Pusat Satelit Sandakan di Kompleks Sukan Sandakan, Jalan Sibuga, Batu 5, dekat sini, kelmarin. 

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Haji Tawfiq Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Masiung Banah; Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Belia dan Sukan (Antarabangsa & Pengurusan) Dato' Azhar Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dato' Dr.Ramlan Abdul Aziz serta peneraju-peneraju sains sukan negeri ini.

Terdahulu dari itu, semasa berucap beliau berkata pelancaran pusat tersebut menunjukkan satu usaha ISN dalam membantu atlet serta jurulatih Sabah dalam penyampaian perkhidmatan sains, perubatan dan teknologi sukan secara lebih saintifik dan komprehensif. 

Ini katanya, perkhidmatan yang saintifik bukan sahaja mampu membantu atlit dalam latihan dan pertandingan, malah ia boleh memberikan kesan positif kepada eko-sistem sukan bermula dari pembentukan atlet di peringkat akar umbi hingga ke tahap temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Olimpik.

"Saya percaya anak-anak muda dari negeri ini mempunyai ciri-ciri fizikal dan mental yang kental yang mampu mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang sukan yang diceburi. 

"Ini kerana, Sabah telah pun terbukti mampu melahirkan atlet yang mewakili negeri ini atau negara dalam Sukan Olimpik umpamanya sejak tahun 50-an lagi iaitu tahun 1956 di Melbourne, Australia seperti Datuk Gabuh Piging dan Sium Diau sehingga 2004 iaitu Sukan Olimpik di Athens termasuk perenang Alex Lim Keng Liat. 

"Sukan-sukan Olimpik tahun-tahun 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an juga melibatkan atlet negeri ini seperti Dilbagh Singh Kler, John Doukom, Haji Nasaruddin Chong, Zainuddin Wahab, Ramli Ahmad, James Wong, Hassan Sani, Peter Rajah, Helen Chow dan Elvin Chia. 

"Ramai lagi atlet negeri Sabah yang berjaya mewakili negara dalam kejohanan berprestij seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan kejohanan-kejohanan di peringkat dunia yang lain," ujarnya.

Justeru, Khairy berharap kemampuan dan pencapaian anak-anak Sabah sejak begitu lama akan menjadi pendorong yang kuat kepada anak-anak muda dan para belia negeri ini.ini.

Lantaran itu, ujar beliau, dengan ada dua Pusat Satelit ISN di Sabah iaitu masing-masing di Kota Kinabalu dan Sandakan dan dijangka dibuka di Tawau, ISN akan sentiasa berusaha mencari kaedah yang terbaik dalam latihan dan persiapan atlet bersandarkan perkhidmatan sains, perubatan dan teknologi sukan. 

Sementara itu, untuk rekod Pusat Satelit Sandakan mula ditubuhkan pada 1 Ogos 2012 dan merupakan pusat satelit ke-10 daripada 16 pusat-pusat satelit ISN Negeri sedia ada di seluruh negara.

Pusat Satelit ISN di daerah berkenaan memfokus kepada perkhidmatan sokongan sains sukan dalam tiga disiplin asas iaitu dalam aspek suaian fizikal, psikologi sukan dan fisiologi senam.

Permulaan tahun 2012 banyak diisi dengan program-program pemantapan dan fokus ke arah Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 di mana pusat tersebut bekerjasama dengan pusat sedia ada di Kota Kinabalu dalam usaha menjalankan semua tiga aspek sains sukan terutama ketika menjalankan program dan aktiviti.

Pada masa ini, peranan dan tanggungjawab Pusat Satelit ISN di Sandakan banyak menumpukan pada pendedahan awal kepada aspek sains sukan kepada jurulatih dan para atlet SUKMA, USPTN (Pelapis) dan pembangunan atlet.

Di antara perkhidmatan yang disediakan untuk atlet dan jurulatih adalah ceramah-ceramah dan kelas pendidikan pemakanan sukan untuk atlet-atlet, ujian kecergasan, sesi suaian fizikal, sesi ceramah motivasi serta sesi kaunseling.

No comments:

Post a Comment