Thursday 3 April 2014

BUMIPUTERA DI SARAN SUPAYA RAJIN BERUSAHA LEBIH GIGIH........AWANG SHAM SEDCO

Written by Admin
Thursday April 03.2014


OLEH: SHAIMON S JUMADI




SANDAKAN:- Masyarakat bumiputera boleh berkembang maju dalam bidang perniagaan asalkan rajin berusaha dan mempunyai perancangan yang baik seperti memanfaat setiap peluang yang disediakan oleh kerajaan.

 Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Datuk Haji Awang Sham Amit berkata  Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang prihatin serta tidak pernah mengabaikan tanggungjawab apatah lagi kepada bumiputera apabila pelbagai pendekatan dilakukan semata-mata untuk memastikan mereka mendapat ilmu pengetahuan sekali gus berdaya saing dalam bidang tersebut.

Katanya lagi  peluang yang terbuka luas sekarang ini perlu dimanfaatkan kerana kerajaan pada dasarnya ingin melahirkan masyarakat bumiputera yang berjaya sekali pun memulakan perniagaan secara kecil-kecilan namun jika ada keyakinan diri serta iltizam maka mereka pun boleh seiring dengan bangsa lain.

Tambahnya  persoalan sekarang adalah matlamat untuk berjaya kerana kejayaan tidak akan datang bergolek begitu sahaja melainkan seseorang sentiasa merancang agar peluang sedia ada dimanfaatkan demi pembangunan diri.

"Program usahawan muda yang dilaksanakan ini sebenarnya sangat baik kerana ia memberikan pendedahan awal kepada peserta terutamanya pelajar-pelajar sekolah berkaitan bidang perniagaan dan keusahawanan yang membabitkan soal pengurusan perniagaan secara amali.

"Sudah tentu usaha murni itu dapat membina asas yang kukuh dalam menceburi bidang perniagaan sebagai bekalan apabila tamat alam persekolahan nanti. Inilah salah satu program utama pihak Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah atau Sedco melalui anak syarikatnya iaitu Sedcovest Holdings Sdn Bhd dalam melaksanakan program-program Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)," jelasnya.

Awang Sham menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Syarikat, Program Tunas Niaga dan Program Usahawan Muda peringkat Negeri Sabah 2014 di Hotel Sanbay, dekat sini, kelmarin.

Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar mewakili 16 buah sekolah menengah sekitar pantai timur menyertai kursus selama tiga hari itu.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Kemanusiaan di Jabatan Pendidikan Sabah, Rahim Awang; Penceramah Jemputan daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan, Mohd Arifin Ibrahim; Pengurus Besar Sedcovest, Mohd Amir Karim dan Pegawai Bahagian Pembangunan Pembudayaan Keusahawanan Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Mohd Hasrul Ag.Tuah serta pegawai-pegawai Sedcovest.

Mengulas lanjut, beliau berkata bermula tahun 2014 lagi program melibatkan usahawan muda telah dijenamakan semula kepada program tunas niaga dan kini program bernaung di bawah Kementerian Kewangan (MOF).

Di bawah program tunas niaga, jawatankuasa penyelaras peringkat nasional yang dianggotai oleh semua PKEN setiap negeri telah memperkenalkan 10 modul yang perlu dilaksanakan bagi memantapkan pelaksanaan program dengan lebih berkesan.

"Dalam masa yang sama juga, bagi tahun ini kementerian berkaitan setuju untuk meluluskan peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi pelaksanaan program ini di seluruh negara. Peruntukan ini akan dibahagi-bahagikan kepada semua PKEN-PKEN mengikut keperluan masing-masing.

"Saya berharap peserta kebanyakannya pelajar sekolah menengah sedikit sebanyak memperolehi pengetahuan dan sekali gus mengerat silaturrahim dengan rakan-rakan dari syarikat PUM yang lain.

"Pada tahun ini, sebanyak 44 buah sekolah telah didaftarkan di dalam program ini. Saya berharap kesemuan sekolah ini akan menghantar laporan syarikat masing-masing dan bersaing secara sihat untuk menjuarai konvensyen di peringkat negeri nanti.

"Kursus yang disertai pelajar-pelajar sekolah menengah ini amat baik dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka berkaitan bidang perniagaan apabila sepanjang berkursus telah diberikan bimbingan yang boleh dimanfaatkan bila sudah menamatkan persekolahan," ujar Awang Sham.



No comments:

Post a Comment