Tuesday, 8 April 2014

BELIA HARUS MEREBUT SEGALA PELUANG YANG DISEDIAKAN KLERAJAAN.....PANG


Written by Admin
Tuesday April 08.2014

OLEH: SHAIMON S JUMADI


KARAMUNTING:-  Wakil Rayat Kawasan Karamunting, Charles O Pang, memuji usaha Persatuan Belia Kampung Air Sandakan (PEMBELA) kerana mengambil satu inisiatif bagi mengadakan program yang dapat memberikan peluang kemahiran dan perniagaan untuk jangka panjang kepada belia-belia khususnya di perkampungan tersebut.

Menurut beliau, pendekatan secara serampang dua mata ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya memandangkan pihak kerajaan sentiasa menggalakkan golongan berkenaan agar merebut peluang yang disediakan kerana menjadi hala tuju negara ke arah melahirkan belia yang berwawasan dan lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta kemahiran diri.

Beliau berkata, sudah tiba masanya mereka tampil ke hadapan berikutan setiap program pembangunan yang dirancang kebanyakannya membantu meningkatkan taraf hidup sekali gus menangani perkara yang seringkali membelenggu iaitu masalah pengangguran.

Katanya, adalah amat merugikan jika peluang-peluang sedia ada terbiar padahal usaha ini sebenarnya lebih menjurus ke arah memastikan belia yang menjadi tonggak dan aset terpenting negara mampu berdaya saing menjelang tahun 2020.

"Satu program pembangunan belia yang bagus dan perlu direbut tambahan lagi kerajaan kita iaitu Barisan Nasional (BN) amat prihatin apabila sentiasa menggalakkan rakyat terutama golongan belia dan beliawanis tampil memahirkan diri mereka.

"Harapan saya agar ambil peluang ini kerana masanya sudah tiba untuk kita mencorak kehidupan yang lebih baik dan pada masa membantu pihak kerajaan yang selama ini peka dan banyak merancang pembangunan semata-mata untuk memperkasakan golongan belia," jelasnya.

Charles berkata demikian ketika berucap pada satu Majlis Perjumpaan Bersama PEMBELA yang diadakan di Balairaya Kampung Air, dekat sini, malam Jumaat lepas.

Perjumpaan itu adalah bagi membentangkan kertas konsep serampang dua mata iaitu kemahiran dan pekerjaan belia-belia berpendidikan rendah dan buta huruf yang dikelolakan oleh PEMBELA.

Hadir sama ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Alex Loh; CDO Karamunting, Awang Yunus; Ketua Kampung Air, Amat Buliga dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Air, Jafar Mustafah serta Pengerusi PEMBELA, Noraini Dumpil.

Objektif program tersebut memberi peluang kemahiran dan perniagaan untuk jangka masa panjang selain memastikan belia yang sentiasa berusaha agar tidak memikirkan budaya melepak, buang masa, vandalisme dan penagihan dadah.

Ia juga secara tidak langsung memberikan motivasi kesedaran dalam pentingnya pekerjaan dan kemahiran mengikut aliran masa yang mencabar.

Manakala matlamat program adalah juga bagi memberi peluang kepada belia melaksanakan pekerjaaan separuh mahir dalam bidang perniagaan cuci kereta dan bengkel otomotif disamping memberikan peluang pekerjaan kepada belia-belia yang berpendidikan rendah dan tidak bersekolah.

Sekali gus memberikan harapan kepada belia yang menganggur agar lebih berminat serta cenderung kepada bidang yang tidak memerlukan pendidikan tinggi.



No comments:

Post a Comment