By Admin
Thursday April 2014
DARI MEJA PEJABAT PARLIMEN (DAP) SANDAKAN
Berikut teks soal jawab perbahasan di sesi Sidang Parlimen yang
diutarakan oleh Ahli Parlimen Sandakan (DAP) Stephen Wong Tien Fatt
Tuan Yang di-pertua,
1. Terima Kasih kerana
memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian untuk membahas ke atas
Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014.
2. Cukai barangan dan
perkhidmatan ataupun GST yang akan dilancar pada tahun 2015 akan membawa kesan
yang amat besar kepada rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah. Ianya akan
membawa chain-reaction dengan izin, yang akan mempengaruhi harga pasaran tempatan.
3. Saya berasa risau
kerana rakyat Malaysia khasnya rakyat Sabah masih belum bersedia untuk
pelaksanaan GST ini。
Tuan yang di-pertua,
4. Pertama sekali,
merujuk kepada laporan statistic yang dikemukakan oleh jabatan perangkaan
Negara, purata perbelanjaan isi rumah pada tahun 2009, adalah RM2,190 sebulan.
RM2,190 ini akan digunakan ke atas barangan dan perkhidmatan.
5. Mengikut laporan
statistic yang sama. Jika kita mengambil kira purata pendapatan di Negara kita
pada tahun yang sama, iaitu RM4,025 sebulan. Maka, kita dapati separuh daripada
pendapatan tersebut diguna ke atas barangan dan perkhidmatan。
6. Tetapi, jikalau kita
melihat secara terperinci, kumpulan pendapatan terendah 40 peratus, hanya
berpendapatan RM1,825 sebulan sahaja,dan purata perbelanjaan sebanyak RM2,190
telah melebihi keupayaan dan pendapatan golongan yang terendah ini. Oleh itu,
GST sudah tentu akan membawa kesan yang amat teruk kepada kumpulan ataupun
golongan ini, dan dan saya percaya bahawa golongan ini masih merupakan golongan
yang besar di Negara kita, khususnya di negeri Sabah.
7. Tambahan pula mereka merupakan
golongan yang tidak sepatutnya dikenakan cukai pendapatan ataupun income tax
sebelum ini, kerana mereka tidak mencapai tahap yang tertentu untuk membayar
cukai.
8. Mengikut statistic yang dibuat
oleh pakar ekonomi, berbanding dengan golongan yang kaya ataupun ber-pendapatan
tertinggi, golongan miskin ataupun kumpulan pendapatan terendah ini akan
membayar lebih banyak GST.
9.Saya ingin berkongsi pengalaman,
ketika saya melawat ke pedalaman negeri Sabah baru-baru ini untuk melancarkan
program Impian Sabah, kami telah melawat ke Kampung Samparita Laut di Kota
Marudu dan juga Kampung Pangi di Tenom. Kami dapati bahawa kebanyakan
pendapatan isi rumah sebulan di kampung-kampung tersebut hanya di sekitar RM500
hingga RM800, ada juga hanya RM300 sahaja. Lagipun, di pedalaman Sabah, tiada
kemudahan asas dan jalanraya yang baik. Apakah implikasinya sekiranya GST
dilaksanakan?
10. Saya telah banyak kali sebut di
dewan yang mulia ini bahawa dasar kabotaj telah menyebabkan rakyat Sabah
mengalami kesusahan dengan kos kehidupan yang lebih tinggal iaitu sebanyak 20
hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding negeri-negeri yang lain. Oleh itu,
dengan pendapatan yang lebih rendah dan kos kehidupan yang lebih tinggi di
Sabah berbanding di Semenanjung, sekiranya GST dilaksanakan, ianya akan membawa
implikasi yang amat serius kepada rakyat Sabah. Ini juga bererti bahawa
orang miskin di Sabah akan membayar GST yang lebih tinggi! Ini adalah satu
double injury, dengan izin, kepada rakyat Sabah.
11. Sabah masih merupakan negeri yang
termiskin di Malaysia, GST yang akan dikenakan sudah pasti akan membawa kesan
yang paling besar kepada warga Sabah. Sabah mempunyai indeks kemiskinan
sebanyak 8.1 peratus manakala purata Negara kita hanya 1.7 peratus.
12. Pelaksanaan GST bukan sahaja
bererti ketidakadilan terhadap kumpulan pendapatan terendah di Malaysia, ia
juga amat membimbangkan situasi ketidakseimbangan pendapatan ataupun income
inequality akan menjadi lebih teruk di antara golongan pendapatan terendah dan
tertinggi, dan juga antara Sabah dan Semenanjung Malaysia. Sekiranya keadaan
ketidakseimbangan pendapatan ini berterusan dan menjadi serius, ianya akan
membawa masalah yang besar kepada pembangunan negara. Oleh itu, saya ingin
mempersoalkan,apakah inisiatif yang akan diambil oleh kerajaan persekutuan
untuk mengelakkan ketidakseimbangan yang kemungkinan menjadi teruk pada masa
yang akan datang?
13. Walaupun GST ini telahpun
dilaksanakan di kebanyakan Negara luar, tetapi sedangkan Negara kita masih
mempunyai begitu banyak masalah membuktikan rakyat kita masih tidak bersedia
dan tidak berupaya untuk membayar GST, saya rasa ianya tidak boleh berbanding
dengan Negara lain.
14. Dengan statistic yang telah saya
sampaikan tadi, jelas sekali Malaysia khususnya negeri Sabah masih tidak
bersedia dengan pelaksanaan GST ini. Janganlah melaksanakan GST tanpa mengambil
kira impact atau kesan yang teruk, terutamanya ke atas golongan miskin. Ini
amat mengecewakan kerana kita langsung tidak mengambil berat kesusahan yang
dihadapi oleh golongan miskin dan negeri Sabah.
Tuan Yang Dipertua,
15. Di sini saya juga ingin menyentuh
bahawa kerisauan double tax ke atas pekebun kecil dan peladang kelapa sawit di
negeri Sabah. Dengan sistem yang sedia ada, kerajaan persekutuan telah
mengenakan cukai pasaran sebanyak 15 peratus jika melebihi 250,000 per tonne
CPO, di Sabah pula, kerajaan negeri Sabah juga mengenakan cukai pasaran
sebanyak 7.5 peratus.Dengan melaksanakan GST ini, adakah kerajaan persekutuan
akan memberi arahan kepada kerajaan negeri Sabah untuk membatalkan cukai
pasaran yang dikenakan?
16. Tetapi, jikalau cukai pasaran 7.5
peratus ini dibatalkan, maka pendapatan kerajaan negeri Sabah akan kurang
sebanyak 1 billion ringgit. Cukai pasaran 7.5 peratus inilah yang memberi
pendapatan yang paling tinggi kepada pendapatan kerajaan Sabah. Sekiranya
pendapatan Sabah dikurangkan sebanyak 1 billion, sudah tentu kerajaan negeri
Sabah akan menghadapi masalah kewangan yang serius terutamanya dalam pembinaan
infrastruktur asas di negeri Sabah.
17. Oleh yang demikian, Saya minta
penjelasan dari kerajaan persekutuan. Apakah pendirian kerajaan persekutuan
terhadap isu ini? Dan bagaimana kerajaan persekutuan mengendali masalah double
tax ini?
18. Akhir kata, saya selaku ahli
parlimen dari negeri Sabah, memang harap kerajaan boleh menimbang semula dan
menarik balik cadangan untuk melaksanakan GST ini. Kerajaan boleh mempertimbangkan
pelaksanaan GST dalam tempoh yang tertentu atau pada masa yang lebih sesuai.
Oleh itu, saya minta supaya pelaksanaan GST dapat ditundakan.
No comments:
Post a Comment