Sunday 20 April 2014

PERKHIDMATAN BOMBA CANGGIH PERLU DITITIKBERATKAN.......ABDUL RAHMAN

 By Admin
Sanday April 20.2014

OLEH: MUHD SUFFIAN AHMAD

KINABATANGAN: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan perkhidmatan kebombaan yang lebih canggih perlu dititikberatkan sekiranya sesebuah agensi kerajaan bercadang untuk membina industri yang berskala besar seperti minyak dan gas di negara ini.

Ini kata beliau, apabila wujud pembinaan yang melibatkan projek megah sekali gus memerlukan kehadiran anggota bomba di situ seolah-olah terlepas pandang kepada kementeriannya dalam menyediakan bajet terutama memastikan tapak sebuah balai bomba yang dapat membantu menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan kebakaran dengan pantas.

"Saya ingin mencadangkan jika nak bina kawasan perindustrian yang memerlukan kehadiran pasukan berkenaan maka hendaklah melibatkan sekali perkhidmatan kebombaan yakni dari segi bajet bagi pembinaannya.

"Ini penting agar kawasan perindustrian yang dibina turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah perkhidmatan kebombaan yang serba lengkap dan canggih," jelasnya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan, di sini, kelmarin.

Beliau merujuk keperluan mewujudkan balai bomba yang canggih bakal dibina di Lahad Datu memandangkan kepesatannya menjalankan kegiatan perindustrian sejak kewujudan POIC di bandar berkenaan.

Katanya, sudah tiba ia memerlukan sebuah balai bomba yang baru supaya selari dengan kegiatan industri yang sedang rancak apatah lagi POIC menempatkan perkilangan dan gudang yang memerlukan perkhidmatan kebombaan yang serba lengkap.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak kerajaan juga meluluskan dua lagi balai bomba iaitu masing-masing di Beluran dan Kimanis yang menelan kos pembinaan antara RM5 hingga RM7 juta.

Menurutnya, pembinaan kedua-dua balai berkenaan menunjukkan kerajaan tidak mengabaikan kawasan luar bandar dalam usaha memberikan perkhidmatan kebombaan dan keselamatan yang lebih baik.

"Ia juga berkait rapat dengan maklum balas dan desakan yang berkali-kali di bawa ke Parlimen agar peri penting pembinaan balai bomba melibatkan kawasan luar bandar.

"Jadi, maklum balas yang diterima akhirnya kerajaan membina balai-balai bomba demi rakyat supaya membolehkan perkhidmatan kebombaan yang lebih cekap dapat diberikan kepada masyarakat termasuk di kawasan daerah Kinabatangan," ujarnya.

Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud memberitahu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menyediakan peralatan baru untuk menyelamat iaitu bot yang mempunyai roda empat.

Beliau berkata, bot seumpama ini mempunyai kelebihan apabila berada di kawasan cetek yang boleh digerakkan ke kawasan dataran khususnya semasa menghadapi musibah seperti musim banjir.

Katanya, kelengkapan perkhidmatan udara bomba dari segi penggunaan helikopter untuk Sabah dab Sarawak akan ditambah berikutan keadaan muka bumi kedua-dua negeri yang luas serta bergunung-ganang.

"Jumlah helikopter yang ada tidak mencukupi dan kita sedang merancang untuk menambah bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat," ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana telah memperuntukan satu kawasan yang strategik bagi pembinaan balai balai bomba di daerah Kinabatangan.

Dia percaya pembinaan balai bomba baru itu akan dapat memberi perkhidmatan kebombaan yang lebih cekap kepada masyarakat di sekitar daerah ini.

"Ia adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk melonjakkan lagi keupayaan dan meningkatkan kecekapan pasukan bomba. Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabatangan bukan sekadar mercu tanda semata-mata, tetapi yang jauh lebih penting adalah komitmen kerajaan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Kerajaan sedar akan kepentingan perkhidmatan kebombaan kepada masyarakat justeru sentiasa berusaha menambahkan lebih banyak lagi balai-balai bomba di seluruh negara. 
Penambahbaikan balai-balai bomba ini akan membolehkan jabatan berkenaan memberi perkhidmatan dengan lebih luas dan cepat kepada masyarakat di samping membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda lepasan sekolah menceburi bidang kebombaan," jelasnya.

Menteri itu menambah kata sebanyak 270 buah balai bomba di seluruh negara dengan keanggotaan seramai lebih kurang 12,995 orang.

Tambah beliau, sungguh pun penyediaan kemudahan memerlukan perbelanjaan yang tinggi tapi perlu bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin dan melaksanakan tanggungjawabnya.

Di Sabah, katanya lagi, pembinaan balai bomba yang terbaru ini menjadikannya sebanyak 21 balai bomba di negeri ini membabitkan 858 kakitangan yang sekali gus membuktikan bahawa tumpuan kerajaan pusat terhadap negeri kekal jitu dan bermakna. 

"Perangkaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia khususnya di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Disember 2013 mendapati sebanyak 1,578 bilangan kebakaran telah dicatatkan dengan taksiran kerugian bernilai RM58.6 juta dan nilai harta yang berjaya diselamatkan adalah sebanyak RM614.3 juta.

"Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah telah menjawab sebanyak 2,526 panggilan khidmat khas yang merangkumi panggilan kemalangan jalanraya, tumpahan dan kebocoran bahan bahaya," beritah beliau.

Sehubungan dengan itu, beliuau menyeru orang ramai terutamanya masyarakat di Kinabatangan ini memberi sokongan yang padu kepada anggota jabatan bagi memastikan kediaman dan penempatan bebas daripada bahaya kebakaran.

Hadir sama Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Masiung Banah; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato' Wan Mohd Nor Haji Ibrahim; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Nordin Pauzi dan Ketua Setiausaha di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Arpah Abdul Razak.

No comments:

Post a Comment