Tuesday, 1 April 2014

KESESAKAN PENJARA SELURUH SABAH AKAN DIATASI SURIA HJ IDRIS PENGARAH PENJARA SABAH

Written by Admin
Tuesday 01 April 2014

OLEH: SAIMON S JUMADI



SANDAKAN:- Pengarah Penjara Sabah, Penolong Kanan Komisioner (PKK), Suria Haji Idris berkata masalah kesesakan penghuni penjara di seluruh negeri ini akan dapat diatasi sepenuhnya apabila kompleks bagi Pusat Latihan Koreksional Wilayah Persekutuan Labuan siap menjelang akhir tahun.

Katanya  pembinaan kompleks yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM35 juta itu boleh menampung 300 banduan lelaki dan wanita dalam satu-satu masa.

"Pembinaan kompleks ini adalah bagi mengurangkan kesesakan di penjara-penjara seluruh negeri. Kita yakin dan percaya apabila ia siap nanti maka masalah tersebut akan dapat diatasi sepenuhnya," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Serah dan Terima Tugas Pengarah Penjara Sandakan di perkarangan Jabatan Penjara Sandakan di Jalan Sibuga, Batu 5, dekat sini, kelmarin.

Ditanya mengenai masalah kesesakan yang berlaku, Suria memberitahu bahawa ia disebabkan 60 peratus daripada penghuni penjara merupakan warga asing dari negara Filipina dan Indonesia.

Katanya, sudah tentu populasi warga asing yang sangat tinggi itu menyebabkan penjara-penjara sedia ada tidak dapat menampung lagi banduan-banduan warga asing yang terlibat dalam pelbagai kesalahan seperti Imigresen, jenayah, dadah dan sebagainya.

Dalam pada itu, tambah beliau lagi pihaknya turut membina blok tambahan melibatkan Penjara Sandakan dan Penjara Tawau sebagai memenuhi tuntutan dan keperluan semasa.

"Ini menjadi tanggungjawab jabatan untuk menambahbaik keperluan sebagai satu usaha mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan selaras dengan visi dan misi jabatan tersebut," jelasnya.  

Sebelum itu, beliau menyaksikan serah dan terima tugas di antara mantan Pengarah Penjara Sandakan iaitu Penolong Komisioner Penjara (PKP), Mat Johir Asin @ Hashim dengan Pengarah Penjara Sandakan yang baru, PKP Faridon Md.Saad.


No comments:

Post a Comment