Monday, 7 April 2014

PERTANYAAN MP SANDAKAN MENGENAI MUATAN LORI BDM SABAH TERJAWAB OLEH MENTERI BERKENAAN



Written by Admin
Monday April 07.2014

OLEH: SHAIMON S JUMADI


KUALA LUMPUR:- Dalam sesi perbahasan di sidang parlimen  Ahli Parlimen Sandakan (DAP) Stephen Wong Tien Fatt mengemukakan pertanyaan kepada  Menteri Pengangkutan, betulkah muatan ton lori maximum (BDM) di Sabah hanya 38 ton, dan di Semenanjung Malaysia adalah 53 ton? Mengapakah cukai jalanraya (Road Tax) untuk lori di Sabah lebih tinggi dari Semenanjung, tetapi BDM lebih rendah?

Jawapan Yang Diberikan:

Had berat dengan muatan (BDM) sesebuah kenderaan adalah ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya berdasarkan Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 1989. Penetapan had maksimun BDM adalah mengambilkira keupayaan / ketahanan jalanraya dan jambatan di sesuatu tempat untuk menampung berat muatan bagi tujuan mengelakkan kerosakan struktur jalan yang menjadi antara penyebab kemalangan jalanraya.



Berdasarkan perintah tersebut, pengiraan had maksimum BDM adalah dikira berdasarkan bilangan gandar (axle) sesebuah kenderaan. Sebagai contoh, bagi kenderaan tangi bersendi 7 gandar (1+2+4), had BDM yang dibernakan adalah sebanyak 53,000kg (53 tan) yang kebanyakannya dibenarkan beroperasi di jalanraya Semenanjung Malaysia mengambilkira tahap ketahanan struktur jalan di lokasi – lokasi tersebut. Bagi kes di Sabah dan Sarawak pula, kenderaan bersendi maksimum 6 gandar (1+2+3) sahaja dibenarkan dengan had maksimum BDM kenderaan tersebut adalah 38,000kg (38 tan). Penggunaan kenderaan tangki bersendi 7 gandar tidak dibenarkan memandangkan struktur jalan yang tidak sesuai.

Walaupun terdapat perbezaan had maksimum BDM di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya sedang dan akan mengambil inisiatif untuk melakukan kerja – kerja menaiktaraf jambatan – jambatan di laluan Persekutuan di dua buah negeri ini. Antara laluan yang telah dinaik taraf adalah melibatkan negeri Sarawak seperti  Jalan Bintulu – Tanjung Kidurong (Laluan FQ800) dan Lebuhraya Pan Borneo: Jalan Serian – Tebedu – Sempadan Indonesia (Laluan FQ021). Selaras dengan penaiktarafan laluan – laluan tersebut, had maksimum BDM bagi laluan – laluan ini telah dinaikan daripada 38 tan kepada 44 tan bagi kenderaan bersendi 6 gandar (1+2+3). Kenderaan bersendi 7 gandar masih tidak dibenarkan beroperasi di Sarawak.

Bagi Negeri Sabah pula, buat masa ini belum ada lagi laluan yang boleh dinaik taraf memandangkan beberapa buah jambatan dilaluan tersebut tidak dapat menampung beban yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun, Kerajaan sedang dan akan melaksanakan penggantian jambatan – jambatan yang terlibat agar laluan tersebut dapat dinaiktaraf. Untuk makluman, di Sabah, sebanyak 62 buah jambatan di jalan – jalan Persekutuan telah dikenalpasti untuk digantikan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 buah jambatan telah diluluskan dalam RMKe-10 untuk digantikan. Kerja – kerja awalan dan rekabentuk sedang dilaksanakan bagi kesemua jambatan – jambatan tersebut.

Berhubung isu perbezaan cukai jalanraya (Road tax) atau kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) di antara Sabah dengan Semenanjung Malaysia, adalah dimaklumkan secara amnya kadar pengiraan LKM untuk kenderaan barangan di Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah berasaskan Berat Dengan Muatan (BDM). Namun, hanya 3 jenis kenderaan barangan sahaja yang berbeza asas pengiraannya di antara negeri Sabah dengan Semenanjung Malaysia iaitu jenis Pengerak Utama Kontena, Pengerak Utama Trailer dan Pengerak Utama Jentera Bergerak. Bagi Semenanjung Malaysia, berat Kerb digunakan sebagai asas pengiraan berbanding di Sabah yang menjadikan BDM sebagai asas.

Ingin ditegaskan di sini, hanya tiga jenis kenderaan barangan ini sahaja yang dikenakan kadar LKM yang lebih tinggi di Sabah berbanding kadar di Semenanjung Malaysia dan situasi ini tidak menggambarkan kesemua kadar LKM kenderaan di Sabah adalah lebih tinggi. Untuk makluman, kadar LKM bagi kenderaan barangan selain dari tiga kategori ini adalah lebih rendah berbanding kadar di Semenanjung Malaysia. 



No comments:

Post a Comment