Monday, 28 April 2014

TIADA PENINDASAN AGAMA DI MALAYSIA....ZAHID BIDAS OBAMA



By Admin
Monday April 27.2014


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK




KUALA LUMPUR:- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang menyifatkan Malaysia tidak berlaku adil dalam konteks agama kepada semua kaum.

Menteri Dalam Negeri itu berkata peluang yang adil dan saksama diberikan kepada semua agama dan semua penganut agama sememangnya tidak menghadapi apa-apa kekangan mengamalkan agama di negara ini.


"Kita berikan peluang yang sama kepada bukan Islam dan kerajaan Malaysia berlaku adil kepada semua agama.

"Saya tidak fikir ada halangan untuk mengamalkan agama di sini. Berat sebelah dalam agama perlu dijauhi kerana kita perlu menghormati agama lain supaya agama lain menghormati agama kita,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Bengkel Keadilan Jenayah Penyeludupan Manusia kali ke-4 Asean di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Obama berkata, Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara ini mahu terus makmur.
Katanya, masyarakat bukan Islam di Malaysia pada masa ini berdepan permusuhan, dan ada yang rasa tertindas.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk diskriminasi, dan anda perlu memastikan anda menentang perkara ini dalam kehidupan harian.
“Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama adil, Myanmar tidak akan berjaya jika populasi Islam di sana terus ditindas,” katanya dalam majlis pertemuan dua hala untuk belia Asean di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.


No comments:

Post a Comment