Sunday 6 April 2014

SHAFIE APDAL GESA IBUBAPA HANTAR ANAK-ANAK MELANJUTKAN PELAJARAN KE MRSM

Written by Admin
Sunday April 06.2014

OLEH: SHAIMON S JUMADI




SANDAKAN:- Masyarakat perlu digalakkan terutamanya golongan ibu bapa supaya dapat menghantar anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memandangkan potensinya yang kini boleh menjadi pilihan utama khusus apabila menduduki pengajian di peringkat menengah.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal  MRSM  adalah merupakan salah sebuah institusi pendidikan yang dibina oleh MARA diyakini boleh membantu mencorakkan pembangunan modal insan pada masa depan sekali gus menjadi landasan penting ke arah memartabat pendidikan sejajar dengan program transformasi kerajaan.

Lantaran ujarnya, faktor ini bukan sahaja disebabkan kemudahan yang terdapat di MRSM malahan prestasi keputusan peperiksaan SPM yang dicapai pelajarnya setiap tahun amat memberangsangkan sekali.

"Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan akan menambahbaik kemudahan yang ada di institusi tersebut bagi memastikan lebih ramai pelajar khususnya dari kawasan luar bandar dapat melanjutkan pengajian di MRSM," katanya.

Shafei berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian MRSM Sandakan yang terletak di Kawasan Hub Pendidikan Sandakan, Batu 10, Jalan Sungai Batang, dekat sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu memberitahu permohonan setiap tahun untuk mengikuti pengajian di MRSM adalah lebih kurang 40,000 orang pelajar dan hanya lingkungan 7,000 sahaja yang berjaya ditempatkan.

Justeru, kata beliau, pihaknya mempertimbangkan untuk memperbesarkan MRSM sebagaimana di daerah Sandakan bagi membolehkan lebih ramai pelajar khususnya dari tempat yang jauh berpeluang mengikuti pengajian di institusi tersebut. 

Terdahulu sewaktu berucap, Shafie menegaskan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan pusat-pusat MRSM yang tertumpu di kawasan luar bandar dapat dilihat sebagai satu usaha memerdekakan golongan bumiputera daripada belenggu kemiskinan melalui pendidikan.

Ini jelasnya, setelah lebih tiga dekad telah terbukti bahawa MRSM berjaya melahirkan generasi baharu yang berpelajaran, berpendidikan dan sekali gus membuka peluang kepada pelajar luar bandar untuk didedahkan dengan kerjaya-kerjaya berimpak tinggi.

"Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan jurang sosio-ekonomi masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar selain mengurangkan jurang pendapatan bumiputera dengan kaum lain," beritahunya.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM1 juta bagi menaiktaraf kawasan perhimpunan pelajar MRSM Sandakan, pembinaan kemudahan Futsal, gym serta pusat aktiviti pelajar.

MRSM Sandakan yang siap dibina pada 2012 dengan keluasan 25.2 hentar merupakan MRSM ketiga di Sabah. Maktab ini yang mula beroperasi Januari 2013 dengan kumpulan  pertama  140 orang pelajar kini mempunyai  499 pelajar dan 57 tenaga pengajar.


No comments:

Post a Comment