Tuesday, 15 April 2014

PROGRAM SEMARAK RAKYAT DAPAT MENYEBARKAN PELBAGAI MAKLUMAT KERAJAAN ....MUSA

 By Admin
Tuesday 15 April 2014

OLEH SAIMON S JUMADI
 
SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, menyambut baik penganjuran program semarak rakyat yang telah memainkan peranan penting dalam konteks mendekatkan kerajaan menerusi pelbagai agensinya dengan masyarakat akar umbi.

Menurut beliau, ini kerana program seumpamanya dapat menyebar maklumat terkini khususnya yang berkaitan dasar-dasar kerajaan kepada mereka sekali gus menepis segala dakyah mahu pun tohmahan yang mengelirukan apabila sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menggunakan media sosial sebagai medan memutarbelitkan apa jua pembangunan yang dilaksanakan pihak kerajaan.

Beliau berkata, program murni ini wajar diteruskan kerana manfaatnya dari segi memberikan peluang kepada masyarakat setempat mengetahui, menyedari, menghargai dan menjayakan usaha-usaha pembangunan yang seiring dengan arus kemajuan perdana.

Katanya, peranan yang tidak pernah berhenti ini adalah bagi memastikan rakyat terdiri daripada berbilang bangsa dan agama akan terus menikmati kemakmuran kerana menjadi agenda dan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan kesejahteraan hidup yang harmoni kepada semua kaum.

"Saya berterima kasih kepada pihak penganjur khususnya Jabatan Penerangan Sabah yang telah berjaya melaksanakan satu program memberikan banyak manfaat kepada kita semua.

"Ini kerana, program sebegini rupa membuatkan kita berjumpa dan beramah mesra dengan rakyat termasuklah warga Penerangan dan Komuniti 1Malaysia atau K1M Sandakan yang secara tidak langsung dapat menyampaikan segala dasar-dasar kerajaan mengenai pembangunan yang dirancangkan selama ini.

"Saya amat menyambut baik program yang diadakan secara terbuka itu, walaupun tidaklah terlalu formal tetapi santai namun manfaatnya begitu besar dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan sekali gus menyebar apa jua maklumat yang berkaitan usaha-usaha murni pihak kerajaan," jelasnya.

Musa berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Semarak Rakyat K1M peringkat Daerah Sandakan Tahun 2014 di perkarangan Pasaraya Giant, Batu 6, dekat sini, petang kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tshen Thau Lin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya; Pengarah Penerangan Negeri Sabah merangkap Penaung K1M Sabah, Haji Almain Ajirul; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk James Wong dan Timbalan Presiden MPS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program K1M, Haji Mohd Hamsan Awang Supain.

Dalam pada itu, Ketua Menteri selaku Adun Sungai Sibuga turut menyambut baik dan menyokong penuh penubuhan K1M di setiap kawasan DUN memandangkan peranan penting badan berkenaan di peringkat akar umbi.

Beliau percaya K1M yang berperanan sebagai mini Jabatan Penerangan mampu memberikan sumbangan dan berpenting penting dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan yang sekali gus membantu menepis sebarang tohmahan yang tidak bertanggungjawab itu.

"Saya difahamkan ada 131 buah K1M di 25 daerah di seluruh Sabah dengan keahlian lebih 5,000. Kalaulah kesemua sumber dan kekuatan ini dapat digerakkan dan digembleng bersama, saya yakin ini boleh membantu kerajaan khususnya jabatan berkaitan dan agensi-agensi yang lain bagi menyebarkan maklumat lebih tepat, berkesan dan menyeluruh.

"Yang paling penting dapat menjelaskan atau membetulkan maklumat tidak tepat yang banyak tersebar di media-media sosial atau isu-isu menjadi bualan rakyat peringkat akar umbi," katanya semasa sidang media selepas program tersebut.

Lantaran itu, Musa menyarankan agar semua DUN dan wakil rakyat BN yang merupakan penuang K1M di setiap kawasan masing-masing supaya memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen tinggi kepada pelaksanaan program K1M ini.

Beliau juga turut mengajak rakyat terus memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan sedia ada memandangkan mereka berada di landasan tepat iaitu sokongan tidak sia-sia.

Katanya, keprihatinan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membolehkan negeri ini membangun dengan pesatnya apabila pelbagai pelaksanaan pembangunan rancak dijalankan.

Tambahnya, pembangunan negeri kini selari dengan negeri-negeri lebih maju apabila pembangunannya berada pada landasan terbaik sekali gus memberikan manfaat kepada semua kaum.

"Datuk Seri Mohd Najib adalah seorang pemimpin amat prihatin terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah ... sejak akhir-akhirnya begitu banyak pembangunan yang disalurkan semata-mata untuk kepentingan rakyat.

"Inilah sebenarnya matlamat dan halatuju kerajaan BN yang sentiasa tampil dan membantu. Saya yakin dan percaya lebih banyak program pembangunan dilaksanakan kerana kerajaan kita sentiasa mempunyai rancangan dan agenda pembangunan yang holistik untuk rakyat.

"Percayalah, kerajaan akan terus komited dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang. Yang penting, semua lapisan mendapat manfaat hasil daripada perancangan pemimpin-pemimpin BN khususnya di negeri ini," ujar beliau.

Beliau berharap agar K1M akan terus menjadi satu gerakan rakyat di peringkat akar umbi yang berkesan dan berjaya membantu kerajaan dari segi penyaluran maklumat dan peningkatan sosio-ekonomi.

No comments:

Post a Comment