Monday...November 11,2013
By Admin
KUALA LUMPUR:- Pakatan Rakyat
(PR) memulakan kempen anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian
Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) di kawasan Parlimen Lembah Pantai malam tadi.
Dengan kehadiran lima
panel yang terdiri daripada pemimpin ketiga-tiga parti dalam PR - PAS, PKR, DAP
- ceramah di Dewan Gasing Indah, Petaling Jaya itu menyaksikan sekitar 150
penduduk setempat hadir mendengar penerangan berhubung GST dan TPPA.
"Kita bukan
menjalinkan kerjasama dengan Barrack Obama, dia baik. Kita tandatangan TPPA
dengan syarikat korporat Amerika Syarikat (AS) yang hanya mementingkan keuntungan,"
kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dalam ucapannya malam tadi.
"AS sendiri ditadbir oleh syarikat korporat,” kata ketua Biro Pelaburan
dan Perdagangan PKR itu lagi.
Dalam ceramah anjuran
PAS dan Pejabat ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Wong Chen bagaimanapun turut
mengakui pembangkang tidak akan berupaya menghalang sekiranya Putrajaya
bertekad untuk menandatangani perjanjian yang disifatkannya sebagai
"bentuk penjajahan baru AS."
"Kita tiada
kuasa untuk menghalang TPPA di Parlimen. Memang susah, (Perdana Menteri Datuk
Seri) Najib (Razak) komited untuk menandatangani perjanjian dengan korporat AS.
"Kita perlu
bersedia menjaga ekonomi kita sekiranya TPPA ditandatangani,” katanya.
Wong Chen mendakwa,
AS meletakkan 400 peguam mereka untuk meneliti terma perjanjian berkenaan,
sedangkan Malaysia dakwanya hanya meletakkan kurang 30 peguam untuk meneliti
TPPA.
"Macam mana
hendak lawan?.
"Kita tidak
tolak perjanjian bebas kerana ia baik untuk membasmi kemiskinan, namun kita
hendak pastikan ia tidak disalahgunakan," katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai,
Nurul Izzah Anwar turut membangkitkan perkara sama, dan menyeru rakyat menolak
TPPA sehingga anggota pembangkang dalam Kaukus TPPA menerima dokumen perjanjian
perdangan berkenaan.
"Jika TPPA
adalah bentuk penjajahan terbaru AS, GST pula penjajahan bentuk baru Umno,
Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat Malaysia," kata Naib Presiden PKR
itu.
"Kita tidak akan
setuju dengan TPPA sehingga kandungan daripada Bab 1 hingga Bab 29 perjanjian
itu kita terima," katanya.
Nurul Izzzah berkata,
melalui perjanjian TPPA, pelaksanaan gaji minimum juga tidak akan dapat
dilaksanakan kerana ia bercanggah dengan terma perjanjian yang berat sebelah
kepada syarikat korporat.
"Gaji minimum
tidak akan terlaksana kerana ia terikat dengan TPPA.
"TPPA ada terma
yang menghalang gaji minimum," katanya.
Selain Wong Chen dan
Nurul Izzah, turut hadir dalam ceramah malam tadi adalah Ketua Pemuda PAS
Terengganu, Kamarulzaman Abdullah; Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Adlin
Soleh; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen
Klang, Charles Santiago.
Zairil berkata,
pengenalan GST seperti yang diumumkan Najib ketika pembentangan Bajet 2014
adalah untuk menampung kadar hutang negara yang semakin meningkat.
"Bagaimana
kerajaan kata GST tidak akan membebankan rakyat? Kerajaan sendiri sudah kata
keuntungan daripada GST akan memberikan pulangan dua kali ganda kepada
kerajaan," katanya.
"Kadar hutang
negara berjumlah RM41.5 bilion, dengan 54.8% daripada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK), GST akan digunakan menampung perbelanjaan ini," katanya.
Santiago berkata,
ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan mengakibatkan rakyat membela orang kaya
di negara ini.
"Selama ini kita
lihat orang kaya membela orang miskin, tetapi di Malaysia hari ini orang miskin
membela kerajaan dan orang kaya. Memperkayakan orang kaya, dan orang miskin
lingkup.
"GST sebenarnya
cukai untuk membela orang kaya dan kerajaan BN," katanya. - 11 November,
2013.
No comments:
Post a Comment