Sunday, 17 August 2014

641 PATI FILIPINA DIHANTAR BALIK KE NEGARA ASAL MELALUI PELABUHAN SANDAKAN KE ZAMBOANGA

Written by Admin
OLEH: SAIMON S JUMADI

SANDAKAN:-Tindakan pihak kerajaan menghantar balik  ke negara asal para Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tinggal di negara ini sekian lama dan tidak mempunyai sebarang dokumen ini satu usaha dan alternatif pihak kerajaan untuk mengurangkan kegiatan jenayah di negeri ini yang melibatkan PATI. 
Dalam pada itu  enam ratus empat puluh satu  (641) pendatang tanpa izin dari Filipina dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, di selatan Filipina kelmarin.
Ia merupakan penghantaran paling besar dilakukan dalam satu masa di mana seramai 293 adalah lelaki, 188 wanita dan 160 kanak-kanak, kata Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan)
“Daripada jumlah itu, seramai 463 pendatang tanpa izin adalah dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan manakala 178 dari PTS Papar,” kata Rodzi Bin Md Saad, Pengarah Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan), dalam satu kenyataan kepada media.
“Mereka berusia di antara satu bulan hingga 75 tahun dan ditahan di beberapa lokasi di seluruh negara pada bulan Jun.”
Rodzi, yang juga Setiausaha Majlis Keselamatan Negara berkata, kumpulan yang dihantar pulang kelmarin adalah mereka yang ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (semakan 2002) dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah/Labuan), Jabatan Imigresen, ESSCom, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Seramai 12,000 pendatang tanpa izin sudah dihantar pulang ke negara asal mereka dari Januari hingga 15 Ogos. Daripada jumlah itu 9,368 pendatang adalah dari Filipina, 2,569 (Indonesia), 95 (Pakistan), 11 (India), 18 (Turki), 31 (China), dua (Thailand) dan masing-masing satu dari Bangladesh, Sri Lanka, Vietnam, Nepal, Uzbekistan dan Belanda.
“Penghantaran balik imigran haram ini adalah salah satu usaha kerajaan membendung serius isu pendatang tanpa izin di negeri ini.
“Baki pendatang tanpa izin ditahan di beberapa PTS sekitar Sabah adalah 3,588, di mana 1,724 orang berada di PTS Papar, 376 PTS Sandakan dan 458 di PTS Tawau,” kata Rodzi.
PTS di Sandakan boleh menampung 1,000 tahanan selepas siap dibina
Beliau berkata 4,000 pendatang akan dihantar pulang ke negara mereka pada akhir tahun ini untuk memberi ruang bagi tahanan baru.
Pusat Tahanan Sementara di Sabah hanya mampu menampung seramai 5,550 tahanan pada satu masa. Bagaimanapun, pembinaan semula PTS Menggatal yang dijangka siap tidak lama lagi, boleh menampung 2,500 tahanan.
Pembinaan empat blok bangunan tambahan PTS di Sandakan boleh menampung 1,000 tahanan selepas siap dibina.


Seramai 16,000 ribu pendatang tanpa izin akan dihantar pulang ke negara asal mereka menjelang akhir tahun ini

No comments:

Post a Comment