Tuesday, 17 June 2014

Ahli Parlimen DAP bidas kesatuan sekerja MAS Tidak Telus

By Admin

June 17 2014
Dr. Tan Seng Giaw, MP bagi Kepong yang telah berkhidmat selama lapan penggal, berkata, "kisah MAS" telah berlanjutan terlalu lama iaitu lebih 40 tahun.
Mas 







KUALA LUMPUR: Kesatuan pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dikecam oleh seorang Anggota Parlimen (MP) paling lama berkhidmat kerana menghalang usaha untuk memulihkan MAS dengan tuntutan dan ancaman yang ”tidak munasabah”.
Dr. Tan Seng Giaw, MP bagi Kepong yang telah berkhidmat selama lapan penggal, berkata, “kisah MAS” telah berlanjutan terlalu lama iaitu lebih 40 tahun manakala kedudukan kesatuan semakin kukuh hingga boleh menggugat syarikat penerbangan nasional yang bermasalah itu sendiri.
“Memandangkan kesatuan ini sudah lama dan mantap, mereka membuat tuntutan-tuntutan yang menakjubkan. Jika ada kesatuan-kesatuan yang tidak memahami kedudukan industri penerbangan hari ini, MAS tidak boleh bertahan. Jika mereka membuat terlalu banyak tuntutan, bagaimanakah MAS hendak terus hidup?” tanya Dr. Tan, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Dewan Rakyat.
Ancam mogok
Antara lain Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU), kesatuan terbesar dalam kalangan kesatuan-kesatuan sekerja dalam MAS, baru-baru ini mengancam melancarkan mogok jika tuntutannya supaya eksekutif-eksekutif pengurusan penting syarikat itu disingkirkan dan agar kerajaan campur tangan dalam syarikat itu tidak dipenuhi.
MASEU tidak berpuas hati dengan percubaan pengurusan untuk menyusun semula MAS yang merangkumi ura-ura untuk menjual bahagian kejuruteraannya dan perniagaan-perniagaan bukan teras lain.
Dalam tahun 2011 dan 2012, kesatuan-kesatuan pekerja MAS juga membantah cadangan penggabungan antara syarikat itu dan AirAsia, satu langkah yang disambut baik oleh banyak pihak sebagai permulaan baharu bagi MAS, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kedua-dua syarikat penerbangan yang tunduk kepada tekanan kesatuan telah membatalkan penggabungan itu pada Mei 2012.
Dr. Tan berkata apa jua tuntutan yang dibuat oleh kesatuan-kesatuan itu seharusnya mengambil kira kepentingan syarikat penerbangan itu dan mestilah sejajar dengn prestasi kewangan, produktiviti dan pulangannya.
“Jika tuntutan dan ancaman itu merosakkan MAS, dan jika menyebabkan menjunamnya produktiviti, bagaimanakah MAS boleh mencapai prestasi yang baik?
Jadi, saya rasa tuntutan-tuntutan ini tidak logik dan menjejaskan semua pihak, bukan sahaja MAS, malah juga imej Malaysia.
“Keadaan ini sudah berlanjutan terlalu lama dan saya rasa cukuplah setakat ini,” tegas beliau.
Bercakap lebih lanjut tentang ancaman kesatuan-kesatuan itu untuk melancarkan mogok jika pengurusan penting tidak berubah, Dr. Tan berkata kedua-dua pihak, iaitu kesatuan dan pengurusan harus mencari penyelesaian secara baik demi kepentingan kedua-dua pihak dan bagi kepentingan negara.
Beliau berkata kesatuan itu harus membuat perbandingan dan mengemukakan tuntutan selari dengan tuntutan kesatuan-kesatuan di negara-negara seperti Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Britain dan memastikan ianya munasabah.
“Apakah keuntungan yang boleh diraih oleh kesatuan-kesatuan ini, jika mereka dapat apa yang mereka mahu tetapi menyebabkan MAS jatuh?” tanya Dr. Tan.
MAS melaporkan kerugian sebanyak RM1.17 bilion tahun lepas dan RM443 juta bagi suku pertama 2014, jauh lebih teruk daripada kerugian RM279 juta yang dialami bagi suku pertama 2013.
Khazanah Nasional, pemegang saham majoriti MAS, juga telah mengumumkan bahawa ia akan memerlukan enam hingga 12 bulan untuk melaksanakan rancangan penyusunan semula syarikat itu dan semua pilihan sedang dipertimbangkan.
Dr. Tan juga tidak bersetuju dengan sebarang langkah menyelamat MAS, sambil berkata langkah sedemikian tidak pernah menjadi cara yang sesuai bagi mana-mana syarikat.
Budaya dalam MAS yang bergantung kepada subsidi kerajaan mestilah dihentikan, memandangkan hakikat bahawa Khazanah Nasional setakat ini telah menyuntik sejumlah RM5 bilion wang pembayar cukai, namun tiada tanda-tanda syarikat penerbangan itu akan pulih, tegasnya.
“Dan setiap kali kita tukar CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), kita tidak nampak sebarang penambahbaikan hinggakan pada satu ketika, MAS menanggung hutang sebanyak RM8 bilion. Jika kita teruskan subsidi dan bantuan kerajaan begini, kita tidak akan ada sebuah syarikat penerbangan nasional yang berdaya maju selama-lamanya,” kata beliau.
Dr. Tan juga berkata pencarian bagi seorang CEO MAS pada masa akan datang haruslah mengambil kira orang yang terbaik bagi tugas itu, tanpa mengira warna kulit atau keturunan, dan ini telah dibuktikan oleh syarikat-syarikat penerbangan lain yang pulih dengan jayanya manakala MAS terus gagal.
- Bernama

No comments:

Post a Comment