Saturday 15 March 2014

RAKYAT HIDUP BERSATU PADU MEMBAWA BERKAT....CHARLIE PANG

Written by Admin
Saturday Mac 15.2014


OLEH: SHAIMON S JUMADI


KARAMUNTING:-  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang, berpendapat amalan konsep 1Malaysia sebenarnya sudah lama diterjemahkan oleh rakyat negeri ini sehinggakan meletakkan ia antara negeri-negeri boleh dijadikan sebagai contoh terbaik ke arah penyatuan masyarakat yang bersatu padu dan hidup harmoni.

Ini kerana, katanya, sekali pun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik tetapi masih dapat bersama-sama walau wujud perbezaan dari segi agama dan fahaman politik namun semangat saling hormat-menghormati tidak pernah pudar.    

Menurut beliau, usaha murni pihak kerajaan yang memperkenalkan konsep berkenaan menambahkan semangat perpaduan memandangkan rakyat di negeri ini sudah pun lama menonjolkan konsep hidup yang rukun damai sejak dahulu lagi.

Beliau berkata, contoh terbaik boleh dilihat dari segi jika pun pernah ditadbir kerajaan yang berlainan sehinggalah kepada Barisan Nasional (BN) sekarang tetapi tidak pernah berlaku sebarang masalah yang mampu menggugat keharmonian kaum.

Katanya, cara hidup rakyat di negeri ini sudah boleh dijadikan contoh terbaik kerana sikap saling membantu yang sekali gus meletakkan ia sebagai sebuah negeri benar-benar menepati konsep 1Malaysia. 

"Apatah lagi kerajaan kita iaitu BN yang memperkenalkan konsep ini maka tentu sekali bertambah makmur lagi Negeri Sabah. Ini kerana, masyarakat kita memahami konsep hidup yang berbeza latar belakang memerlukan satu semangat utuh.

"Semangat perpaduan yang kukuh inilah yang menyatukan kita semua dan membolehkan negeri menyumbang dalam konteks perpaduan kaum. Pada pandangan peribadi saya, Sabah boleh dijadikan contoh terbaik ke arah usaha tersebut.

"Oleh hal yang demikian, saya menyambut baik dan amat mengalu-alukan penganjuran sesi Dialog Perpaduan yang bertemakan 'Suara Akar Umbi' ini. Penganjuran program sebegini memang tepat pada masanya sebab ia salah satu usaha bagi menyatupadukan masyarakat selaras dengan matlamat murni kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia.

"Namun, saya juga berharap agar ianya berkesan dan memberikan manfaat kepada semua khususnya para peserta yang telah menyuarakan pelbagai pendapat, padangan dan cadangan kepada pihak moderator yang dijemput pada sesi dialog tersebut," jelasnya.

Charles berkata demikian ketika ditemui selepas program dialog perpaduan anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Malaysia.

Program yang diadakan di Dewan SMK Merpati, dekat sini, pada Ahad lepas itu, disertai 300 orang peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat setempat termasuk agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO); Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta golongan muda yang mewakili pertubuhan belia sekitar daerah ini.

Ia bertujuan memberikan peluang kepada peserta yang mengambil bahagian untuk menyuarakan apa jua pendapat, pandangan dan cadangan mengenai usaha-usaha menyatupadukan masyarakat selaras dengan tujuan utama program ke arah menyediakan Pelan Perpaduan Negara.
  
Tiga ahli panel MKPN dijemput sebagai moderator dalam dialog berkenaan antaranya Datuk Haji Zainal Abidin Abdul Kadir; Anas Zubedy dan Dr.Bilson @ Belson Bingku manakala Prof.Madya Dr.Kntayya Mariappan selaku pengerusi majlis tersebut.

Tugas mereka hanya mendengar dan merekodkan semua pendapat dan pandangan peserta yang mana akan dijadikan asas untuk membuat analisa berhubung isu-isu yang dikemukakan masyarakat.

 

- ALBUM KENANGAN ... Charles (duduk, tengah) di samping beberapa ahli panel MKPN, pegawai-pegawai JPNIN Sabah dan pemimpin masyarakat terdiri daripada badan-badan NGO termasuk KRT sekitar daerah Sandakan merakamkan kenangan sejurus selesainya sesi dialog perpaduan itu   
2 Attachments


No comments:

Post a Comment