Saturday 22 March 2014

MP BATU SAPI CADANG TUBUH PASUKAN PETUGAS KHAS

Written by Admin
Saturday March 22. 2014

OLEH: SHAIMON S JUMADI

BATU SAPI:-  Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin mencadangkan agar sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mengkaji masalah kejadian bencana alam di negara ini yang mana boleh mengenalpasti punca serta mencari strategi terbaik bagi menangani masalah ini.

Ia juga untuk menyusun langkah-langkah pemberian bantuan yang lebih cekap, dan seterusnya menambah kelancaran operasi bantuan sekiranya bencana alam melanda di sesuatu kawasan, tambah Linda ketika membentangkan ucapan perbahasan tentang Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung yang disampaikan semasa pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua , Parlimen Ketiga Belas di Dewan Rakyat.

“Bencana alam yang melanda negara ini sepertilah banjir serta masalah jerebu yang kebelakangan ini dilihat semakin kerap terjadi di negara ini, mengakibatkan implikasi kepada keadaan ekonomi negara serta memberi kesan secara langsung kepada taraf hidup rakyat di negara ini,” katanya lagi.

Sebagai contoh masalah banjir mendatangkan kerosakkan infrastruktur dan harta benda, manakala masalah jerebu pula boleh menjejaskan tahap kesihatan rakyat. Perkara ini memerlukan tindakan bersepadu untuk mengenalpasti langkah-langkah yang sesuai bagi menangani permasalahan ini, kata beliau.

Sementara itu, Linda turut berkata usaha murni kerajaan  dalam membantu untuk meringankan kos sara hidup rakyat di negara ini sepatutnya mendapat setinggi-tinggi pujian sebagai kerajaan yang begitu prihatin mendengar permasalahan rakyat dan seterusnya mengambil langkah-langkah membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

Ini telah dibuktikan serta dilaksanakan oleh kerajaan , sepertilah pemberian BR1M kepada mereka yang layak, penubuhan Kedai Rakyat Satu Malaysia, penubuhan Klinik Satu Malaysia dan lain-lain lagi yang ternyata membuktikan kesungguhan kerajaan membantu rakyat di negara ini., tambah Linda.

Beliau berharap usaha murni ini boleh diteruskan lagi dan saya mencadangkan agar semua kawasan Parlimen di negara ini boleh mendapat kemudahan-kemudahan seperti yang dinyatakan tadi bagi memberi peluang kepada semua rakyat negara ini menikmati kemudahan tersebut , dan seterusnya boleh meringankan kos sara hidup yang ditanggung.

Ketika ucapannya, Ahli Parlimen Batu Sapi itu juga bertanya kepada pihak Kementerian Pengangkutan mengapa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan mengenakan yuran pertukaran hak milik motorsikal yang berbeza di tiga wilayah di negara ini, iaitu  RM3 di 

Semenanjung Malaysia,  RM5 di Sarawak dan sangat mahal di Sabah, iaitu  RM40. Perkara ini tidak patut berlaku dan saya menyeru pihak berkaitan menyamakan kadar yuran di seluruh negara dengan serta merta.



No comments:

Post a Comment