Saturday 1 March 2014

16 BUAH KG PERSISIRAN PANTAI TUBUH JAWATANKUASA KHAS KAWASAN DUN SUKAU

Written by Admin
Saturday March 01. 2014

OLEH: SHAIMON  S JUMADI

SANDAKAN:- Sebanyak 16 buah Kampung di persisiran pantai khususnya berhampiran dengan perairan Bandar ini satu badan Jawatankuasa Khas bagi menangani masalah pembangunan telah dibentuk dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman mengalu-alukan atas usaha penubuhan badan itu.

Beliau bersyukur masalah pembangunan asas mahu pun infrastruktur membabitkan perkampungan persisiran yang terletak dalam kawasan Sukau ini akhirnya mendapat perhatian daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menerusi jawatankuasa yang baru dibentuk itu, serta dipengerusikan oleh Presiden MPS, Datuk Ir.James Wong.

Katanya, kesungguhan MPS untuk mewujudkan jawatankuasa tersebut adalah hasil perancangan beliau yang selama ini sentiasa merumus serta mencadangkan supaya kampung-kampung di persisiran pantai itu dimasukkan dalam pentadbiran Pejabat Daerah Kinabatangan demi melancarkan pembangunan sedia ada.

"Nampaknya, apa yang kita utarakan sejajar dengan kerangka pelan pembangunan Sukau akhirnya mendapat maklumbalas baik daripada pihak MPS yang sudah pun membentuk jawatankuasa bakal menangani masalah pembangunan secara jangka pendek dan jangka panjang di kawasan persisiran pantai ini.

"Jangka pendek ialah dari segi pembangunan seperti solar hybrid untuk penduduk setempat termasuk kemudahan asas dan infrastruktur sementara jangka panjang melibatkan soal prasarana penyediaan perumahan nelayan yang serba moden disamping bekalan air dan elektrik.
 

ALBUM KENANGAN.....Saddi bersama-sama barisan AJK badan tersebut


"Saya menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas ini yang bakal membantu perancangan kita bagi menstruktur semula pembangunan Sukau sekali gus menangani permasalahan untuk memastikan tiada terpinggir dalam menikmati arus pembangunan perdana," jelasnya.

Saddi berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Dun N.48 Sukau di Sandakan Golf Range, Batu 7, Jalan Lapangan Terbang, dekat sini, kelmarin.

Seramai 40 orang Pengerusi JKKK di kawasan Dun Sukau termasuk 16 perkampungan persisiran pantai itu menerima watikah perlantikan masing-masing disampaikan Saddi sambil disaksikan pemimpin masyarakat setempat dan wakil pihak MPS.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) menegaskan komitmen pihak MPS mewujudkan jawatankuasa tersebut jelas menunjukkan keseriusan dalam membantu menangani masalah yang wujud melibatkan pelbagai aspek keperluan pembangunan di kampung-kampung persisiran pantai Sukau.

Tegasnya, peranan jawatankuasa adalah amat penting bagi membantu mempertingkatkan kesejahteraan rakyat memandangkan masih ada penduduk setempat terutama yang tinggal di kawasan persisiran pantai dipercayai hidup dalam keadaan serba daif.

Saddi yakin jawatankuasa berkenaan dapat melaksanakan peranannya bagi memastikan ekonomi rakyat yang membabitkan golongan nelayan ini terus berkembang maju dalam bidang perniagaan yang berasaskan perikanan.

"Ertinya, apa jua masalah di kawasan persisiran pantai ini pihak MPS akan bertindak segera menanganinya. Kita mengalu-alukan dan amat menyanbut baik kewujudan jawatankuasa berkenaan, sekurang-kurangnya apa yang kita rancang dan cadangkan selama ini akhirnya mendapat perhatian serius," kata beliau.

Dalam pada itu, Adun Sukau ini turut menyarankan pengerusi-pengerusi JKKK yang baru agar dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh berdedikasi serta efisin.

Ini katanya, sebagai pemimpin masyarakat yang menjadi mata dan telinga kepada kerajaan sewajarnya mereka merancang pelbagai bentuk pembangunan demi kesejahteraan dan pembangunan kampung. 

"Anda perlu sentiasa merancang dengan misi pembangunan bagi manfaat penduduk setempat yang diwakili. Apabila peranan ini dapat direalisasikan sudah pasti menambah keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa adil dan saksama kepada semua rakyat jelata," ujarnya. 




No comments:

Post a Comment