Friday, 28 March 2014

PERJUMPAAN PENDUDUK SETEMPAT DENGAN AGENSI KERAJAAN BANYAK MEMBAWA MENFAAT.....KATA CHARLIE O PANG


Written by ADMIN
Friday March 28.2014


OLEH:  AZMI AZMAN


KARAMUNTING:- Perjumpaan penduduk setempat bersama agensi kerajaan dalam satu-satu sesi soal jawab amat penting kerana ia membantu mengenal pasti sesuatu isu yang dibangkit termasuklah melibatkan permasalahan mereka selama ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang



Menurut beliau, salah satu cara menangani masalah yang diutarakan dengan mengadakan majlis seumpamanya agar apa jua pertanyaan yang dikemukakan akan dapat memuaskan hati semua pihak kerana yang pasti jawapan diberikan secara berdepan.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu curiga kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited dalam soal permasalahan setempat apabila keluhan yang diutarakan bukan hanya di dengar wakil rakyat tetapi semua agensi yang berkaitan dipanggil semata-mata untuk mendengar sendiri kemusyikilan mereka.

Katanya, kesungguhan pihak kerajaan ini terbukti apabila dialog yang diadakan samada di peringkat taman-taman perumahan mahu pun perkampungan mencapai objektifnya sebab memberi peluang kepada penduduk mengemukakan setiap permasalahan.

"Itu biasalah, jika timbul rasa kurang puas hati terhadap perkara tertentu. Saya selaku wakil rakyat termasuklah wakil-wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang ada ini akan cuba membantu penduduk dengan memberikan jawapan terus.

"Saya tidak mahu ada penduduk yang masih lagi tertanya-tanya berhubung peranan pihak kerajaan atau inginkan kepastian terhadap sesuatu permasalahan yang memerlukan penyelesaian segera.

"Oleh sebab itu, saya jemput agensi kerajaan pada petang ini supaya apa pun kemusyikilan anda bolehlah bertanya terus. Saya yakin masalah-masalah yang berkaitan pembangunan setempat dan bermacam-macam lagi akan terjawab dan boleh diselesaikan secara berperingkat nanti," jelasnya.

Charles menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Gemilang anjuran Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) bersama Adun N.44 Karamunting, di Balairaya Kg Air, Jalan Bokara Lama, dekat sini.

Hadir sama Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Haji Mohd Hamsan Awang Supain; Pegawai JASA Parlimen Batu Sapi, Zulfekar Hj Piting; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Karamunting, Alex Loh; Ketua Puteri Umno Batu Sapi, Hazulizah Md.Dani dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Air, Jafar Mustafah serta pemimpin masyarakat setempat. 

Di antara agensi kerajaan yang terlibat dalam perjumpaan itu adalah MPS, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Belia dan Sukan, Ketua Anak Negeri (KAN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Tanah dan Ukur.

Sesi soal jawab berkenaan hangat seketika apabila penduduk yang hadir telah bertanyakan soalan mengenai peranan Ketua Kampung dan JKKK termasuk implikasinya jika penjawat jawatan penting di kampung itu tidak sehaluan.

Perbincangan mengenai masalah sedemikian dijawab panjang lebar oleh Hamsan selaku Timbalan Presiden MPS yang mana menurutnya peranan kedua-dua pemimpin masyarakat kampung ini saling tak tumpah.

"Mereka mesti sehaluan kerana jika tidak, bagaimana sesebuah perkampungan hendak maju. Oleh sebab itu, peranan yang dimainkan Ketua Kampung dan JKKK ini amat penting. Mereka berdualah yang mencorak pembangunan dan keharmonian kepada penduduk setempat.

"Jika ada di kalangan penjawat jawatan ini tidak sehaluan maka pihak MPS akan siasat terlebih dahulu dan tindakan terakhir ialah merujuknya kepada seseorang wakil rakyat untuk mencari jalan penyelesaian.

"Namun begitu, janganlah menimbulkan masalah seperti ini memandangkan kesannya yang tidak baik kepada penduduk. Tonggak kekuatan kampung terletak di tangan mereka. Kena duduk bersama baru kampung maju.

"Ambil ikhtibar kemajuan kampung-kampung di Negeri Selangor Darul Ehsan dan Johor Darul Takzim umpamanya yang membangun dengan pesat sekali oleh sebab tahap kerjasama yang cukup padu dan kukuh antara Ketua Kampung dan JKKK," kata beliau. 

Dalam pada itu, penduduk yang hadir turut mengemukakan aduan berkenaan perihal bantuan kebajikan apabila kononnya ada segelintir yang benar-benar ingin mendapatkan bantuan sedangkan sudah pun memohon.

Wakil daripada jabatan berkaitan kemudiannya menjawab bahawa pihak jabatan tidak pernah meminggir setiap permohonan apatah lagi yang melibatkan golongan kurang kemampuan dan daif tetapi ia memerlukan penelitian rapi memandangkan begitu banyak permohonan yang perlu diproses terlebih dahulu.

"Bukan mudah untuk mengendalikan soal bantuan ini kerana jumlah pemohon bukannya sikit tetapi ramai. Namun, kita tetap mengutamakan mereka-mereka yang susah dan perlu dibantu segera. Itu matlamat kami selari dengan dasar dan agenda kerajaan," ujar pegawai berkenaan.




No comments:

Post a Comment