Thursday, 5 December 2013

MP DAP Sandakan kecam Speaker tolak usul kertas SPM bocor

Thursday  December 5, 2013 by admin (Roket Kini)

KUALA LUMPUR”- Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt  (gambar) mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usulnya mengenai kebocoran kertas soalan matematik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Beliau berkata, alasan yang diberi mengenai penolakan itu sama sekali tidak boleh diterima.
“Alasan yang diberikan tidak masuk akal, Speaker mengatakan isu kebocoran ini tidak boleh diperdebatkan semasa Kementerian Pendidikan membentangkan bajet kerana ia berlaku selepas perdebatan.
“Apakah saya perlu menunggu ‘task force’ selesaikan siasatan dulu? Ia sudah tentu mengambil masa yang lama.
“Saya ingin perjelaskan, usul yang dibawa adalah berhubung apakah ada langkah susulan berhubung keputusan SPM yang bocor bukannya bagaimana kertas itu boleh bocor atau siapa penyebabnya,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan agar mengulang semula peperiksaan SPM membabitkan kertas sejarah, matematik, matematik tambahan, kimia, biologi dan sains kerana kebocoran yang berlaku.
“Saya mencadangkan peperiksaan mata pejaran yang terbabit diulang menggunakan kertas soalan baru.
“Walaupun ini akan membabitkan masa dan kos tambahan bagi pelajar dan kementerian, tetapi ia lebih penting untuk mempertahankan keyakinan awam terhadap sistem pemeriksaan kita serta memberi keadilan untuk semua.
“Ulangan peperiksaan itu tidak akan mendatangkan prejudis kepada mana-mana pelajar kerana mereka yang pandai tetap akan mencapai keputusan cemerlang.
Tambahnya, kebocoran ini bukan kali pertama berlaku tetapi menjadi rutin setiap tahun.
“Seramai 470,000 calon SPM terjejas akibat isu ini, jadi sampai bila harus tunggu, kerajaan harus selesaikan segera.
“Jika dalam bidang pendidikan pun tidak ada jalan penyelesaian dan terbelenggu oleh penyelewengan, rasuah dan penipuan, apa lagi yang akan terjadi pada negara kita?,” soalnya.
Sebelum ini, pada 29 November lalu, Stephen menggesa Pandikar Amin segera menerima usul mengenai kebocoran soalan matematik SPM baru-baru ini dan membahasnya secepat mungkin. -Roketkini.com (Roket Kini)

No comments:

Post a Comment