Friday 27 December 2013

TIGA TUNTUTAN HIMPUN 31 DISEMBER 2013

Jamilah Kamarudin  Friday December 27, 2013....By Admin
Gabungan itu mensasarkan tiga lokasi awal utama iaitu kompleks beli-belah Sogo, Masjid Jamek, dan Pasar Seni bermula jam 9 malam.
 







PETALING JAYA: Gabungan NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) dan Gerakan3112 mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan sempena himpunan menjelang tahun baru di Dataran Merdeka 31 Disember nanti.
Tuntutan tersebut adalah mahu kerajaan menurunkan segala punca kenaikan kos sara hidup, menggesa kerajaan supaya tidak mengkhianati janji yang telah ditabur sebelum mendapat kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, serta menghentikan segala pemborosan dan ketirisan yang akhirnya terpaksa ditanggung rakyat.
Menyarankan peserta berpakaian serba hitam dan membawa bendera kebangsaaan, gabungan itu mensasarkan tiga lokasi awal utama iaitu kompleks beli-belah Sogo, Masjid Jamek, dan Pasar Seni bermula jam 9 malam.
Kemudiannya merancang untuk berarak ke Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut bersama kumpulan anak muda aktivis dan mahasiswa pada pukul 10 malam.
“Peserta himpunan akan bergerak masuk ke Dataran Merdeka setelah ketiga-tiga kumpulan ‘check point’ bertemu di Dataran DBKL,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan itu mengulangi penafian bahawa himpunan itu dilakukan untuk menggulingkan kerajaan, sebaliknya menegaskan sebagai himpunan aman anjuran rakyat yang dibenarkan menurut Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.
“Pihak Gabungan Gerakan3112-TURUN mengharap kerjasama dari pihak polis dan tidak ada pihak samaran yang sabotaj.
“Kami memberi jaminan perhimpunan ini akan berjalan dengan aman sekiranya diberi laluan sepertimana himpunan rakyat sebelum ini,” katanya.
Gabungan itu turut menyeru orang ramai termasuk pengunjung yang datang ke Dataran Merdeka untuk meraikan sambutan tahun baru supaya turut sama dalam himpunan tersebut.
“Kami menyeru orang ramai hadir merentasi batasan politik kepartian dan fahaman agama, bahawa semua tidak terkecuali terkesan dengan polisi zalim yang diperkenal oleh pemerintah.
“Harapan kami agar himpunan ini menjadi satu signal yang berkesan kepada pihak kerajaan, bahawa rakyat sudah bangkit dan tidak berdiam diri apabila sang penguasa sewenangnya membuli rakyatnya.
“Rakyat akan buktikan kuasa rakyat itu mengatasi mana-mana kerajaan pemerintah,” katanya...FMT

No comments:

Post a Comment