Saturday 14 December 2013

Sarawak berjaya kurang indeks kematian


Doris Apai | December 14, 2013 By Admin
Sehingga Oktober tahun ini, Sarawak mencatatkan indeks kematian bagi 10,000 kenderaan berdaftar dengan kadar 1.32 berbanding 3.01 pada tahun sebelumnya.
 

SERIAN: Sarawak berjaya mengurangkan indeks kadar kematian akibat kemalangan jalan raya kepada 1.32 bagi 10,000 kenderaan berdaftar sehingga Oktober tahun ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia, Datuk Dr. Tam Weng Wah.
Beliau berkata, kes kemalangan maut berjaya dikurangkan hasil daripada langkah yang diambil oleh pasukan penguatkuasaan serta kerajaan negeri dalam membendung perkara itu daripada terus berlaku.
“Sehingga Oktober tahun ini, Sarawak mencatatkan indeks kematian bagi 10,000 kenderaan berdaftar dengan kadar 1.32 berbanding 3.01 pada tahun sebelumnya.
“Justeru, kita (JKJR Malaysia) ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri termasuk pemimpin masyarakat atas komitmen mereka bersama untuk menurunkan kadar kemalangan maut berlaku di negeri ini,” katanya.
Beliau menambah, diharapkan kadar indeks tersebut dapat dikekalkan selari dengan sasaran JKJR Malaysia untuk mengurangkan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya dengan hanya dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan yang berdaftar di negara ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Bagi Tahun 2013 anjuran JKJR Negeri Sarawak yang disempurnakan oleh Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerp Susil di hadapan Dewan Masyarakat Serian di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai statistik jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia, Tam berkata, sebanyak 6, 917 kes kematian dilaporkan.
Penunggang motosikal
“Daripada jumlah itu, kira-kira 60% kematian kemalangan jalan raya adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal,” ujarnya.
Disebabkan itu, katanya, JKJR Malaysia mengambil inisiatif untuk mengadakan program Kempen Keselamatan Jalan Raya menerusi kerjasama agensi penguatkuasan lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sebanyak 100 unit topi keledar diedarkan kepada para pengguna motosikal terutamanya kanak-kanak ekoran mendapati ramai daripada mereka menggunakan topi keledar yang tidak menepati syarat  Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM),” jelasnya.
Beliau berharap dengan usaha itu, masyarakat akan menyedari betapa pentingnya aspek penjagaan keselamatan di jalan raya sekali gus dapat membentuk amalan budaya memandu yang sihat dalam kalangan mereka.
Dalam pada itu, Dr.Jerip  menggesa rakyat Sarawak untuk mengutamakan keselamatan di jalan raya kerana statistik menunjukkan kes kemalangan merupakan penyumbang ketiga terbesar kes kematian di negara ini.
“Oleh sebab itu, kita perlu bertanggungjawab untuk memastikan aspek keselamatan semasa memandu kenderaan dipatuhi agar tiada perkara yang tidak diingini akan berlaku.
“Misalnya, para pengguna jalan raya perlu memastikan tali pingang keledar atau topi keledar sentiasa digunakan dengan cara yang betul ketika berada di jalan raya selain mematuhi had laju dan peraturan yang ditetapkan,” katanya. fmt

No comments:

Post a Comment