Monday 13 January 2014

UMNO BAHAGIAN SANDAKAN BAGI BANTUAN MANGSA KEBAKARAN KG BAKAU....AMPONG



Written by Admin
Monday January 13,2014

 OLEH: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN:- Penduduk di kawasan perumahan dan kampung-kampung perlu meningkatkan pengetahuan tentang aspek kebombaan kerana apabila berlaku sesuatu kebakaran mereka tidak lagi panik, sebaliknya mampu mencegah kebakaran daripada terus merebak.

Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon, berkata kesedaran ini penting memandangkan penduduk setempat boleh bertindak memadamkan kebakaran sebelum kedatangan anggota bomba ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kerjasama melibatkan semua penduduk membantu usaha pihak bomba yang sentiasa memastikan kebakaran tidak merebak terlalu cepat yang mampu mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta benda.

Katanya, kempen kesedaran mengenai kebombaan ini sentiasa dilaksanakan pihak kerajaan termasuklah mewujudkan pasukan unit bomba sukarela yang semata-mata bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada sesiapa sahaja.

"Pengetahuan berkenaan aspek kebombaan perlu dipertingkatkan terutama penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan dan kampung. Ia penting, supaya jika berlaku sesuatu kebakaran mereka tidak panik malahan boleh membantu antara sama lain.

"Kejadian kebakaran yang mengakibatkan kemusnahan yang banyak seperti rumah dan harta benda mungkin disebabkan penduduk kurang mengambil berat tentang aspek kebombaan contohnya terlalu bergantung harap pada anggota bomba untuk cepat sampai sedangkan pasukan tersebut memerlukan kerjasama penduduk.

"Saya berharap kepada mana-mana penduduk pun, pertingkatkanlah ilmu pengetahuan mengenai cara-cara memadam kebakaran atau jika ada inisiatif boleh wujudkan pasukan unit bomba sukarela sebagai satu persediaan awal," jelasnya.

Ampong menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan peribadinya berupa wang tunai kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Batu 2 TB Wad dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Umno Bahagian, Haji Hamdan Dikong; Ketua Pemuda Umno Bahagian, Fakarudin @ Carl Tan Sri Haji Ampong dan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Elopura, Mohamad Otung serta barisan ahli jawatankuasa Umno Sandakan.

Sebanyak 18 buah rumah musnah yang mengakibatkan kira-kira 150 orang penduduk kehilangan tempat tinggal dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi 5 Januari itu. 

Ketika ini sebahagian mangsa-mangsa kebakaran menetap buat sementara waktu di masjid berhampiran manakala selebihnya di rumah sanak-saudara serta sahabat-handai.

Dalam pada itu, Ampong menasihatkan mangsa-mangsa kebakaran yang terlibat dengan musibah berkenaan agar dapat bersabar kerana kejadian yang tidak diduga ini tentu akan ada hikmahnya juga.

"Janganlah bimbang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) yang prihatin menerusi badan-badan berkaitan akan tampil ke hadapan bagi menghulur bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung.

"Apa yang penting banyak bersabar kerana ia dituntut dalam agama Islam. Apa pun musibah yang terjadi, yang penting sekali redha dengan ketentuan Ilahi selain tabahkan iman dan kesabaran dalam menempu segala dugaan hidup," ujarnya.

Beliau yang sedih mengenangkan nasip mangsa-mangsa kebakaran yang terlibat terutama dalam usaha mereka menyediakan persekolahan anak-anak yang baru bermula berharap dengan bantuan yang dihulurkannya ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban harian.

Menurutnya, walaupun sumbangan tidaklah membantu sepenuhnya segala keperluan mereka tetapi atas semangat Gagasan 1Malaysia Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan maka pemimpin BN khasnya Umno tidak akan sesekali meminggirkan rakyat terutama yang ditimpa masalah.

No comments:

Post a Comment