Tuesday 18 February 2014

PROSES PERJALANAN BANCIAN ESSCOM BERJALAN LANCAR......MOHD MENTEK




Written by Admin
Tuesday 18 February 2014

OLEH: AZMI AZMAN &
SHAIMON S JUMADI



SANDAKAN:- Proses perjalanan bancian selama dua hari walaupun berdepan dengan cuaca yang tidak menentu  namun tidak menghalang untuk menjalankan kerja-kerja pembancian yang melibatkan di beberapa perkampungan air khususnya perkampungan setinggan dibandar ini” Kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohamad Mentek.

 

Menurut beliau, berdasarkan laporan ia telah mencapai matlamatnya apabila tiada tentangan mahu pun masalah yang timbul malahan penduduk setempat memberikan kerjasama yang cukup baik kepada pihak ESSCOM sejak bermula operasi pertama bancian tersebut.



Beliau berkata, penglibatan pemimpin masyarakat turut membantu kelancaran proses bancian yang melibatkan kerjasama Polis Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM); Jabatan Imigresen; Jabatan Pendaftaran serta Jabatan Kesihatan.



Katanya, jumlah pembanci 171 orang, termasuk 102 pembanci wanita digunakan yang disertai 258 anggota daripada tujuh jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan  digunakan sewaktu bancian pada hari Sabtu dan Ahad itu yang mana sejumlah 3,348 rumah dibanci yang meliputi kira-kira 16,888 penduduk membabitkan tiga kampung iaitu Kg Forest, Kg Muhibbah serta Kg Cahaya Baru.    



"Dalam hari pertama operasi bancian yang kita buat di Forest menyaksikan sejumlah 1,650 rumah melibatkan 7,900 penduduk telah pun dibanci ... begitu jua, pada hari kedua bancian membabitkan Muhibbah dan Cahaya Baru yang menyaksikan 1,698 rumah dengan seramai 8,930 penduduk yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri serta persekutuan. 

  
"Pagi ini, kita akan meneruskan bancian ke kawasan Kg Mangkalinau yang dijangka lebih kurang 1,500 rumah akan terlibat dalam proses pembancian tersebut. Saya berpuas hati dengan proses sepanjang bancian yang diadakan kerana berdasarkan laporan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul," jelasnya.



Mohammad berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Sandakan, dekat sini.



Mengulas lanjut, beliau berkata proses pembancian dibuat secara teliti kerana pihak ESSCOM turut dibantu Jabatan Perangkaan sepanjang bancian melibatkan empat perkampungan terpilih itu.



Tambahnya, bancian adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai jumlah rumah, penduduk, keluarga dan demografi penduduk warganegara dan bukan warganegara selain mengenal pasti jenis dokumen penduduk yang sedia ada.



Ujarnya, maklumat yang diperolehi amat penting daripada segi menentukan perancangan masa depan kampung yang terbabit dalam operasi bancian pada kali ini.



Difahamkan perangkaan daripada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pada 2010 mendapati ada kira-kira 4,500 rumah di semua kampung terbabit yang melibatkan 13,000 penduduk.



Empat perkampungan air terpilih dalam program bancian dan penempatan semula di kawasan ini adalah Forest (Good View), Muhibbah, Cahaya Baru dan Mangkalinau.


No comments:

Post a Comment