Tuesday 18 February 2014

MASYARAKAT SETEMPAT DIPELAWA JADI AHLI PEMADAM....NORAINI SULONG



Written by Admin
Tuesday 18 February 2014-02-18

OLEH: SHAIMON S JUMADI

 

SANDAKAN: Masyarakat terutama yang tinggal di kawasan taman perumahan dan kampung digalakkan supaya menyertai Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) memandangkan peranan badan NGO seperti PEMADAM banyak kebaikannya dari segi konteks kemasyarakatan.

Pengerusi Biro Hal-Ehwal Wanita PEMADAM Cawangan Sandakan, Noraini Sulong, berkata kewujudan PEMADAM telah membantu sekali gus memudahkan pihak kerajaan khususnya dalam usaha menangani masalah yang membelenggu masyarakat selama ini.

"Sebagai contoh, masalah penyalahgunaan dadah yang memerlukan kerja keras untuk dibanteras, namun jika kita menyertai PEMADAM bukan sahaja memudahkan pihak kerajaan memeranginya tetapi soal melibatkan kepentingan masyarakat turut dititikberatkan badan NGO ini.

"Oleh hal demikian, kita di PEMADAM sentiasa bergerak bagi membantu segala usaha yang dilaksanakan pihak kerajaan ke arah membentuk masyarakat yang sihat dan bebas dari dadah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pembentukan Jawatankuasa Penaja PEMADAM Skim Perumahan Kampung Karamunting yang diadakan di Tabika Perpaduan, Kampung Karamunting, di sini, petang Ahad lalu.

Noraini yang juga Ketua Wanita Umno Sandakan berharap jawatankuasa baru dibentuk diketuai Pengerusi Penajanya iaitu Jafruddin Haji Jaffar dapat bergiat aktif memandangkan peranan dan sumbangan kepada masyarakat tidak boleh dinafikan.

Ini katanya, PEMADAM adalah jambatan yang membantu kerajaan sekali gus memerangi masalah penyalahgunaan najis dadah sekiranya dilaporkan berlaku di kawasan sekeliling mereka.

"Saya memuji usaha dan inisiatif saudara Jafruddin atas komitmen beliau yang akhirnya berjaya membentuk Jawatankuasa Penaja PEMADAM untuk peringkat Skim Perumahan Kampung Karamunting ini.

"Harapan saya, anda semua dapat bergerak aktif membantu pihak kerajaan dalam meneruskan misi memerangi gejala yang tidak sihat itu. Salurkan lebih banyak maklumat tentang bahaya dadah kepada golongan anak-anak yang menjadi aset terhadap pembangunan negara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment