By Admin
BEAUFORT: Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia Datuk Azizah Mohd Dun berharap pergerakan itu akan mendapat pengiktirafan daripada pucuk pimpinan Umno sebagai tulang belakang parti pada Perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pengiktirafan itu memang diharapkan semua anggota pergerakan berkenaan berasaskan sumbangan besar berterusan wanita Umno terhadap kejayaan parti dan pembangunan negara.
“Pengiktirafan kepada Wanita adalah perkara yang amat-amat pokok bagi kami menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan bersemangat lebih tinggi lagi… kami akan terus berada di barisan hadapan mempertahankan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Festival Bagandang Beaufort 2013 di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Pada 26 Nov lepas, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memohon supaya pergerakan itu diberikan pengiktirafan sebagai tulang belakang parti dan bukan lagi dianggap sebagai satu daripada sayap parti.
Permohonan itu, kata Shahrizat, akan dibawa ke pengetahuan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat, dan berharap supaya berita baik itu dapat diumumkan pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung minggu depan.
Azizah berkata selama ini, Pergerakan Wanita Umno memberi ketaatan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan serta perjuangan parti dan tidak pernah mengecewakan parti untuk meraih kejayaan dalam pilihan raya umum.
“Kita juga ingin perjuangkan (menyuarakan) perkara pokok kepada wanita iaitu keusahawanan wanita. Pemerkasaan wanita dalam ekonomi sekarang ini menjadi pendekatan dan perjuangan kita selain perjuangan untuk diberi tempat dalam kumpulan membuat keputusan dalam parti dan kerajaan,” katanya.
Azizah yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata perjuangan memperkasa wanita dalam bidang ekonomi adalah untuk memastikan penglibatan wanita dalam semua peringkat perniagaan. BI
No comments:
Post a Comment