Tuesday, 9 September 2014

SABRI YAACOB AKTA HASUTAN DIKEKALKAN NAJIB AKTA KEHARMONIAN NASIONAL AKAN DI LAKSANAKAN

 By Admin

OLEH: KAMARUL ZAMAN
RAMASAMEY KARUNAKARAN
SHAIMON S JUMADI

PUTRAJAYA:- Mungkin rakyat di negara ini agak  keliru sedikit dengan pendapat dan pandangan yang dilontarkan oleh  dua pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) mengenai pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang kini sedang hangat dipertikaikan sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang kerana terdapat pendapat dan pangangan yang berbeza mengenai isu pemansuhan akta berkenaan
Ikuti kupasannya sementara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan bagi memelihara keamanan negara.
“Janganlah disebabkan kehendak golongan minoriti yang ingin akta itu dihapuskan, golongan majoriti terkena tempiasnya akibat huru-hara selepas ketiadaan akta tersebut.
“Belum pun akta ini dihapuskan kita lihat pelbagai penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi Raja-Raja Melayu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab atas tiket kebebasan bersuara,” katanya 
Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada PDRM dan Peguam Negara kerana telah menangkap serta mendakwa beberapa pihak berkaitan, tindakan yang diambil berdasarkan kenyataan yang dibuat, bukan siapa yang membuat kenyataan.
“Sekiranya Akta Hasutan dihapuskan, misi kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 juga akan menuju kegagalan,” katanya.
Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara perlu mengambil tindakan tegas ke atas golongan minoriti yang cuba menggugat keharmonian negara dengan cara mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Dalam isu yang sama  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata pihak kerajaan akan membuat keputusan samada hendak mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau perkenal Akta Keharmonian Nasional akan dilaksanakan dengan penuh berhemah, terbuka tetapi mestilah lebih baik daripada akta yang telah sedia ada.
Pihak Kerajaan tidak akan melakukan tindakan atau langkah yang boleh menjejaskan ketenteraman dalam negara.
“Percayalah proses itu akan dilakukan penuh berhemah, dengan cara terbuka tetapi dalam keadaan terkawal mudah-mudahan kesudahanya nanti negara lebih harmoni, kukuh, stabil dan berjaya,” Jelasnya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Hadir sama dalam Perhimpunan Bulanan JPM, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri di JPM dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
“Dalam hal itu kita akan melakukan rundingan dengan semua ‘stake holder’ (pihak berkepentingan), tentu sekali yang dilihat bersuara dalam hal ini ialah kumpulan yang mewakili orang Melayu,” ujarnya.
Beliau faham mengapa komuniti Melayu menyuarakan pandangan mengenai Akta Hasutan kerana terdapat isu yang paling dekat dengan mereka iaitu hal-hal yang melibatkan agama Islam, raja-raja Melayu dan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan  yang berkaitan Parti Bersatu Sabah (PBS) mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula


Ketika Perdana Menteri  Dato Seri Mohd Najib Tun  Abdul Razak berusaha untuk mengambil hati rakyat dengan ikrar untuk menghapuskan Akta Hasutan, Parti Bersatu Sabah (PBS) sebaliknya pula mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan itu dikembalikan, dengan tujuan untuk menangani puak pelampau dan pencetus batu api.
“Kami melihat ramai orang menyalahgunakan kebebasan yang diberikan kepada mereka dalam menyuarakan pandangan mereka,” kata Setiausaha Agung PBS Datuk  Johnny Mositun dalam satu kenyataan.
“Mereka menjadi terlalu bebas dan mengatakan apa sahaja yang mereka mahu yang mempunyai unsur-unsur hasutan dan menyentuh isu-isu kaum serta agama dan Perlembagaan Persekutuan.”

Mositun, yang juga timbalan speaker Sabah menyifatkan kewujudan puak “pemisah” sebagai satu penghinaan terbaru.
Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula untuk menguatkuasakan kembali ISA supaya orang ramai tidak akan terlalu berani menyuarakan pendapat liar dan kenyataan yang menghina.
Beliau berkata, sebelum ISA digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (Sosma), rakyat tidaklah terlalu berani dan lantang untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang akan menyinggung perasaan orang lain.
“Sekarang, tanpa ISA, mereka lebih berani dan lantang mengeluarkan komen yang tidak sihat, menyakitkan hati dan menjatuhkan maruah dalam media sosial Seperti Facebook, Twitter, blog dan WhatsApp tanpa menunjukkan rasa hormat,” kata Mositun. “Trend ini membimbangkan. Jika tidak dikawal, keamanan dan ketenteraman berada dalam bahaya. 
Menghidupkan semula ISA, katanya, boleh melengkapkan Akta Hasutan.
Selain itu katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mestilah proaktif mengambil langkah-langkah seperti menyekat akses dalam laman-laman web dan rangkaian yang boleh mempengaruhi rakyat hingga menimbulkan ancaman kepada negara.
“Jika negara-negara lain seperti China boleh memantau dan menyekat akses kepada media sosial popular ini, mengapa tidak boleh kita melakukan perkara yang sama?” soalnya merujuk kepada negara komunis itu sebagai contoh negara yang bebas bertindak tanpa was was.



No comments:

Post a Comment