Sunday, 11 January 2015

TELEMOVIE BABU-BABU DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA

OLEH: SHAIMON S JUMADI
ssjumadi@gmail.com


TELEMOVIE 'Babu-Babu 1' yang mendapat sambutan luar biasa berikutan jalan ceritanya yang menarik selain memenuhi citarasa penonton tempatan membuatkan ramai tertunggu-tunggu apa lagi kemunculan telemovie terbaru terbitan A.B.S Entertainment selepas ini.

Ini kerana, garapan idea yang dikongsi Dato' Abidin Sukor selaku Pengarah Urusan Syarikat A.B.S Entertainment berjaya menambat hati penonton untuk menonton telemovie yang diterbitkan pada tahun 2011 turut menampilkan penyanyi popular dengan lagu 'Lolay Liyangkit' iaitu Kamis Sainali. 

Sebagaimana yang dijangka A.B.S Entertainment sekali lagi muncul untuk tidak menghampakan peminat setianya dengan mempersembahkan telefilem Misbun 'Dendam Si Nelayan' yang akan menemui penonton di pasaran tidak berapa lama lagi.

Menariknya tentang telefilem yang mengisahkan seorang nelayan yang baik hati dan jujur kepada semua orang adalah mengambil kira penerbitan telefilem telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada produksi filem di Filipina.

Diceritakan, penggambaran telefilem ini kebanyakannya dibuat di Bandaraya Zamboanga dan Tawi-Tawi manakala selebihnya di daerah Sandakan yang pastinya menggegar industri hiburan kita ekoran langkah berani A.B.S Entertainment untuk memasuki pasaran luar negara.

Abidin telah memberikan mandat kepada Kamis sebagai pengarah untuk mengendalikan telefilem yang menampilkan ramai pelakon-pelakon hebat dari sana termasuklah Ratu Tawi-Tawi yang memegang salah satu watak penting.

Khabarnya, telefilem yang sudah pun selesai menjalani penggambaran dalam tahun lepas itu bakal ditayangkan di pawagam-pawagam Zamboanga dan Tawi-Tawi sementara pihak A.B.S Entertainment merancang untuk menayangkannya di TV Malaysia menerusi slot telefilem. 

Bercakap kepada Hiburan NST, Kamis selaku artis yang bernaung dibawah A.B.S Entertainment teruja dengan kesungguhan syarikat produksinya yang berjaya menerbitkan telefilem di luar negara seperti Filipina.

"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Dato' Abidin atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mengendalikan penggambaran telefilem berkenaan sebagai pengarah dan juga pelakon utama.

"Telefilem ini pasti memukau penonton di kedua-dua negara kerana jalan ceritanya yang menarik kerana banyak memapar soal kemasyarakatan tentang nelayan yang disukai satu kampung disebabkan kejujurannya kepada semua.

"Namun, jalan ceritanya juga sedih apabila keluarga si nelayan dibunuh akibat iri hati seseorang kepada nelayan tadi. Banyak lagi genre yang dipaparkan dalam telefilem berdurasi lebih sejam ini," katanya ketika ditemui di Pejabat A.B.S Entertainment di Gand View, Jalan Buli Sim-Sim, Sandakan kelmarin. 

Kamis berkata pihak syarikat produksi filem A.B.S Entertainment telah berbincang dengan produksi di sana mengenai proses penerbitan telefilem tersebut termasuklah soal pasarannya.

Katanya, pihak TV 5 di Filipina juga akan membantu mengurus telefilem berkenaan seperti mendapatkan tempat bagi ditayangkan di pawagam-pawagam.

Sementara itu, Abidin berharap telefilem terbaru yang diterbitkan syarikat produksinya akan mendapat sambutan daripada masyarakat terutamanya penggemar filem di negeri ini khususnya dan negara amnya.

Ini katanya, telefilem berkenaan dibarisi pelakon-pelakon dari Filipina yang bergandingan dengan Kamis sebagai pelakon utama yang bukan sahaja membantu meningkatkan mutu lakonan tetapi juga satu pengalaman baru bagi kita ke arah menembusi pasaran luar negara.

"Ia satu permulaan untuk A.B.S Entertainment mengorak langkah dalam industri perfileman memandangkan selepas Filipina, kita juga merancang memasuki pasaran Brunei Darussalam dan Singapura yakni kita akan kerjasama dalam menerbitkan telefilem atau filem sekali pun.

"Sebab itu, saya memberi kepercayaan kepada Kamis untuk mengendalikan penggambaran sebagai pengarah bagi membolehkan beliau dapat menimba pengalaman yang lebih tentang soal-soal pengarahan.

"Mengenai telefilem Misbun 'Dendam Si Nelayan' ini ... kita akan tengok pasaran secara teliti kerana bimbang juga dengan masalah cetak rompak yang membelenggu kami sewaktu mengeluarkan cakera padat untuk 'Babu-Babu 1'," jelasnya.

Beliau tidak menafikan kegiatan cetak rompak merupakan rintangan yang terlalu besar kepada setiap syarikat produksi filem memandangkan kos sesuatu filem atau telefilem mahu pun telemovie bukannya kecil.

Katanya, mereka yang tidak bertanggungjawab sesuka hati sahaja meraih keuntungan sedangkan hasilnya sukar diperolehi pihak produksi yang telah bertungkus-lumus menerbitkan sesuatu produk demi mengangkatkan martabat industri seni tanahair.

Dalam pada itu, katanya, Kamis akan muncul dengan album keempat serta kompilasi bersama artis terbaru iaitu Laila Nadia yang akan diterbitkan sepenuhnya oleh A.B.S Entertainment.

Menurutnya, album yang mengandungi lagu-lagu terbaru akan berada di pasaran pada pertengahan tahun ini dan tentunya mengubati kerinduan peminat setia Kamis.

Tamat


No comments:

Post a Comment